Kerajaan Negeri lulus RM55 juta peruntukan tambahan insentif bantuan COVID-19

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan peruntukan tambahan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang sebanyak RM55 juta bagi mengurangkan beban golongan paling terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, menerusi pertambahan tersebut, ia menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi pakej bantuan adalah kira-kira RM75 juta dengan memberikan penekanan kepada tiga objektif utama.

Menurut beliau, fokus utama Kerajaan Negeri adalah untuk menyalurkan bantuan segera kepada golongan paling terkesan iaitu penjaja, peniaga kecil, pemandu teksi, penarik beca, pemandu e-hailing, orang kurang upaya (OKU) serta golongan berpendapatan rendah (B40).

“Kerajaan Negeri sebenarnya sudah bersiap-siaga untuk menghadapi risiko ini melalui perancangan sama ada daripada segi sumber manusia, logistik serta bekalan bagi memastikan impak paling minimum terhadap rakyat dan negeri.

‘Kita akan mengupayakan golongan pekerja untuk berdiri semula dan meneruskan usaha menjaga diri, keluarga serta membangunkan negeri melalui produktiviti.

“Seterusnya adalah untuk membolehkan kelangsungan perniagaan di negeri ini bagi memastikan ekonomi Pulau pinang terus dibangunkan pasca pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Justeru, adalah diharapkan kita semua dapat kekal bertenang, bersabar dan bersatu padu berdepan cabaran ini,” katanya ketika ucapan siaran langsung menerusi laman Facebook peribadi beliau di Komtar dekat sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri mengemukakan 16 inisiatif antaranya membenarkan penangguhan bayaran cukai tanah selain manfaat untuk petugas barisan hadapan (frontliner worker) serta peniaga kecil dan penjaja berlesen.

16 insentif berkenaan adalah seperti berikut :

1. Bantuan tunai RM500 (one-off) kepada 14,012 peniaga kecil dan penjaja berlesen yang berdaftar dengan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Pendaftaran bantuan ini bermula 15 April 2020.

2. Bantuan tunai RM500 (one-off) kepada 1,367 pemandu pelancong yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

3. Bantuan tunai RM500 (one-off) kepada 18,657 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat termasuk OKU dan penerima Agenda Ekonomi Saksama (AES). Pembayaran akan dibuat terus ke dalam akaun mereka pada April 2020.

4. Tambahan RM200 kepada pemandu teksi (2,248 orang) dan penarik beca (318 orang) manakala baki RM300 wang insentif tahunan akan diawalkan ke April 2020 menjadikan keseluruhan jumlah yang akan diterima adalah RM500.

5. Bantuan tunai RM300 (one-off) kepada pemandu e-hailing di Pulau Pinang yang bakal memanfaatkan 10,000 pemandu.

6. Pengecualian sewa selama dua bulan (April dan Mei) kepada penghuni-penghuni di 4,860 unit Rumah Sewa Kerajaan Negeri dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) kelolaan Kerajaan Negeri.

7. Pengecualian satu bulan sewa premis-premis perniagaan Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk pasar-pasar awam, lot-lot kedai dan sebagainya. Pengecualian sewa ini berkuatkuasa April 2020 dan melibatkan 10,999 premis perniagaan.

Semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) juga diarahkan untuk tidak mengutip sewa tapak pasar malam dan pasar pagi bagi tapak-tapak yang diuruskan oleh mereka bagi bulan April.

8. Bantuan zakat RM3 juta kepada golongan asnaf beragama Islam melalui Zakat Pulau Pinang (ZPP).

9. Bantuan tunai RM1,000 (one-off) kepada masjid (226 buah) dan RM500 kepada surau (538 buah) di seluruh negeri sebagai bantuan membiayai kos penyelenggaraan, pembersihan serta pembasmian kuman melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

10. Bantuan tunai RM500 (one-off) kepada rakyat Pulau Pinang yang disahkan positif COVID-19 dan RM1,000 kepada waris pesakit yang meninggal dunia.

11. Insentif khas RM300 (one-off) kepada 4,791 wira barisan hadapan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dikerahkan sebagai pekerja barisan hadapan membabitkan Skuad Khas COVID-19 kedua-dua PBT.

12. Menghargai jasa 10,511 wira barisan hadapan daripada agensi dan jabatan Kerajaan Persekutuan seperti warga Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APAM), Jabatan Imigresen dan RELA melalui insentif RM300 (one-off).

13. RM10 juta diperuntukkan bagi tujuan perolehan bekalan peralatan keselamatan diri seperti pelitup muka, pensanitasi tangan (hand sanitizer), termometer infra merah dan sebagainya. Kerajaan Negeri telah menempah 6 juta keping pelitup muka bagi kegunaan negeri Pulau Pinang.

14. Pinjaman tanpa faedah bagi membantu usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menempuh masa penuh kesukaran ini. Peminjam diberi tempoh masa enam bulan sebelum pembayaran balik pinjaman bermula.

15. Peruntukan khas RM30,000 kepada 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai dana bantuan kecemasan masyarakat setempat.

16. Melanjutkan tempoh akhir selama tiga bulan bagi bayaran cukai petak atau cukai tanah, skim sewa-beli Rumah Sewa Kerajaan Negeri (RSKN) serta menangguhkan bayaran balik pinjaman Skim Pinjaman Harapan, Tabung Usahawan Tani dan penuntut.

Dalam pada itu, Kon Yeow menyeru pihak-pihak swasta untuk tampil memainkan peranan melalui pemberian insentif dan rangsangan bagi memulihkan semula ekonomi negeri.

“Kerajaan Negeri telah membuka langkah, justeru, pihak swasta juga dijemput untuk turut serta dalam usaha pemulihan ekonomi negeri Pulau Pinang,” serunya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : CHAN KOK KUAN