Tambah baik jarak sosial, putuskan rantaian COVID-19

PANTAI JEREJAK – Rata-rata masyarakat di negeri ini dilihat mula mengamalkan jarak sosial yang selamat sebagai langkah mengelakkan jangkitan COVID-19.

Tinjaun Buletin Mutiara ke Pasar Awam Bayan Baru mendapati pengunjung memperlihatkan sikap lebih berdisiplin dengan mempraktikkan kaedah tersebut dan hanya memerlukan pemantauan minimum daripada penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain memberitahu bahawa pihaknya bersama MBPP dan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengadakan kempen dan pemantauan berterusan bagi mendidik pengunjung untuk mengamalkan jarak sosial.

“Alhamdulilah kita boleh nampak perkara ini semakin lama semakin teratur dan menjadi kebiasaan kepada orang ramai dalam membendung penularan COVID-19.

“Jumlah kemasukan pengunjung ke dalam pasar pada satu-satu masa juga telah dihadkan, jadi saya berharap perkara ini dapat ditambah baik dari semasa ke semasa supaya kita dapat memutuskan rantaian virus ini.

“Juseru, saya menasihati orang ramai supaya duduk di rumah, tidak perlu keluar kalau tiada urusan sangat penting, elakkan berada di tempat tumpuan selain mengamalkan kebersihan maksimum,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Selain Pasar Awam Bayan Baru, Abdul Halim turut melakukan tinjauan di pasar Sungai Ara yang merupakan premis kendalian pihak swasta.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menzahirkan penghargaan kepada barisan hadapan Bayan Baru dalam menjayakan praktis jarak sosial di lokasi tumpuan umum.

Dalam pada itu, pasukan Parlimen Bayan Baru bersama pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Batu Maung dan Batu Uban bergerak membantu golongan sasar seperti ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU), keluarga B40 dan penjaja kecil melalui agihan barangan keperluan asas sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tidak lupa juga sumbangan untuk klinik-klinik serta petugas-petugas bahagian kesihatan, pasukan keselamatan dan juga petugas-petugas MBPP,” ujar Tze Tzin.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI