Kerajaan Negeri, MBPP mahu transformasikan 9km lorong sisi dan ruang awam seluruh George Town

Admin
槟首长曹观友(右二)为中国银行旁小巷的纪念牌匾上签下名字,为这珍贵时刻留下纪念。

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri bersama-sama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berhasrat untuk mentransformasikan sembilan kilometer laluan lorong sisi dan lorong belakang bangunan sekitar bandar raya George Town.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada Pelan Induk Projek Penarafan Lorong Belakang ke arah menghakis stigma negatif mengenai ia.

“Objektif utama adalah untuk menghidupkan semula suasana selamat dan ‘segar’ lorong-lorong belakang dan sisi di George Town.

“Daripada laluan yang terbiar dan ‘mati’, ditransformasikan menjadi ruang awam yang menarik atau taman poket,” ucapnya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerja-kerja Menyelenggara Lorong Sisi Bank of China yang terletak di Lebuh Pantai, dekat sini.

CHOW Kon Yeow (depan, dua dari kanan) menandatangani plak perasmian sambil disaksikan oleh tetamu kehormat lain.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menzahirkan penghargaan kepada Bank of China kerana membiayai sepenuhnya projek pengindahan lorong sisi di sini.

“Kos keseluruhan adalah RM650,000, dan ia ditanggung sepenuhnya oleh Bank of China sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) bank berkenaan.

“(Dan) hari ini, MBPP bersama-sama Bank of China (M) Berhad akan menandatangani kontrak penyelenggaraan 5+5 tahun bermula hari ini (19 Februari 2019),” ujarnya.

Turut berucap, Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Konsul Jeneral People’s Republic of China di Pulau Pinang, Lu Shiwei dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank of China (M) Berhad, Zhang Min.

Hadir sama, barisan Ahli-Ahli Majlis MBPP.

Dalam pada itu, ketika ditemui, Tung Seang menyatakan bahawa berdasarkan kontrak yang ditandatangani, Bank of China (M) Berhad adalah bertanggungjawab sepenuhnya bagi kerja-kerja penyelenggaraan lorong sisi tersebut.

“Bagi pihak MBPP, pastinya kami amat menghargai inisiatif Bank of China untuk sama-sama mentranformasikan lorong sisi di sini.

“Malah, MBPP juga telah mengenal pasti beberapa lorong sisi dan belakang di George Town untuk penarafan agar wujud ketersambungan serta elemen warisan dalam bandar raya ini.

“(Dan) MBPP menggalakkan lebih banyak syarikat-syarikat swasta untuk sama-sama berganding bahu menjayakan inisiatif transformasi lorong belakang dan sisi ini,” serunya.

Selain lorong sisi antara Bangunan Bank of China dan Bank HSBC yang menghubungkan Lebuh Pantai ke Weld Quay, beberapa lorong sisi serta lorong belakang yang turut ditransformasikan menjadi taman poket atau ruang awam adalah:

a. Lorong belakang Lebuh Armenian dan Lebuh Acheh.
b. Lorong belakang yang menghubungkan Jalan Magazine dan Jalan Gurdwara.
c. Lorong belakang yang menghubungkan Lebuh Keng Kwee dan Jalan Dr. Lim Chwee Leong, dan
d. Lorong belakang yang menghubungkan Jalan Dr. Lim Chwee Leong dan Jalan Cheong Fatt Tze (masih dalam pemajuan).

SEBELUM (imej atas) dan selepas (imej bawah) penarafan lorong sisi Bank of China.
ILUSTRASI artis.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI