“Selamat maju jaya, terima kasih atas sumbang bakti kepada Pulau Pinang dan Malaysia” – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David semalam mengumumkan persaraannya melalui status yang dimuat naik di Facebook.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu, bakal menggantungkan raketnya tidak lama lagi setelah lebih 20 tahun berkecimpung dalam arena sukan skuasy.

Selain netizen di media sosial, Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow turut menzahirkan penghargaan dan ucapan selamat maju jaya kepada Nicol sambil menyifatkan beliau adalah ikon sukan negara yang tiada galang ganti.

“Nicol David adalah ikon sukan negara yang telah banyak berjasa dalam sukan skuasy serta berjaya menaikkan imej Malaysia di persada dunia dengan menjuarai pelbagai kejohanan.

“Beliau telah membuktikan bahawa dengan kegigihan dan komitmen yang tinggi, seorang atlet itu boleh mencapai prestasi amat baik.

“(Dan) saya menghormati keputusan Nicol untuk bersara kerana saya percaya dalam mana-mana sukan, had umur merupakan salah satu perkara yang harus diterima oleh semua.

“Lagipun, saya yakin, beliau tahu masa yang paling sesuai untuk membuat keputusan persaraan itu,” ujarnya ketika ditemui sejurus hadir pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerja-kerja Penyelenggaraan Lorong Sisi Bank of China dekat sini lewat petang semalam.

Kon Yeow dalam pada itu turut menyuarakan pengharapan agar Nicol dapat membantu mencungkil bakat-bakat muda dalam sukan skuasy.

Selamat maju jaya dan terima kasih atas sumbang bakti kepada Malaysia dan Pulau Pinang.

“Saya berharap beliau akan mencapai kecemerlangan dalam apa jua yang diceburi beliau pada masa hadapan,” katanya.

Apabila disoal sama ada Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memberi sebarang penghargaan kepada Ratu Skuasy Negara itu, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan insentif atas pencapaian beliau selama ini.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI