Kerajaan Negeri muktamad bayar RM35 juta, ambil alih ‘fasiliti’ PLB Terang di Pulau Burung – Exco

Admin
cc99abdc efdc 4935 b4ff 5cff76cdaa1e

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri memuktamadkan bayaran sebanyak RM35 juta kepada syarikat PLB Terang Sdn. Bhd. (PLBT) bagi mengambil alih sepenuhnya pemilikan fasiliti di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung (TPSPB).

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye memaklumkan bahawa langkah drastik itu diambil susulan penamatan kontrak konsesi syarikat berkenaan pada 1 Ogos 2022 akibat prestasi yang tidak memuaskan, selain memenuhi tuntutan klausa perjanjian yang mewajibkan kerajaan membeli semula aset yang telah dibina di tapak tersebut.

Mengulas lanjut, Mooi Lye menyatakan bahawa pihak syarikat berkenaan pada asalnya mengemukakan tuntutan awal yang jauh lebih tinggi iaitu sebanyak RM84.47 juta.

“Bagaimanapun, melalui beberapa sesi mediasi bersama Kerajaan Negeri, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), semua pihak akhirnya bersetuju dengan nilai RM35 juta.

“Bayaran ini meliputi pemindahan hak milik fasiliti kritikal termasuk sel pembuangan sampah dan loji rawatan air larut resap (leachate) bagi memastikan operasi tapak berjalan lancar di bawah kendalian PBT,” katanya semasa sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Kelima Belas di sini pada 13 Mei 2026.

Menjawab lanjut perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon, Mooi Lye memberitahu bahawa sehingga kini, MBSP telah menjelaskan bayaran pertama sebanyak RM9.87 juta pada Mac 2025, manakala MBPP menjelaskan bayaran kedua berjumlah RM9.83 juta pada Oktober 2025.

Selain itu, Mooi Lye yang juga ADUN Jawi menjelaskan isu peningkatan kos pengurusan tapak sejak tahun 2024 seakan tidak dapat dielakkan berikutan perubahan pada dasar ekonomi negara.

Antara faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan kos tersebut, menurut beliau, adalah penyelarasan harga diesel mengikut harga pasaran, kenaikan kadar cukai perkhidmatan, serta pelaksanaan kadar gaji minimum yang baharu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menjawab isu kebakaran yang berlaku di tapak tersebut pada 21 Mac 2026 yang lalu.

“Hasil siasatan mendapati insiden berpunca daripada pengumpulan gas metana daripada proses pereputan sisa, ditambah dengan cuaca kering dan kehadiran bahan mudah terbakar seperti aerosol serta bateri yang mencetuskan api akibat suhu persekitaran yang tinggi.

“Kini, tanggungjawab sepenuhnya pengurusan TPSPB terletak di bawah MBSP dengan pemantauan lebih ketat bagi mengelakkan kejadian berulang,” ujarnya kepada Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Azrul Mahathir Aziz.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN