Pantau kebanjiran premis niaga warga asing perlu mekanisme kawalan, elak peniaga tempatan terjejas – Exco

Admin
cc99abdc efdc 4935 b4ff 5cff76cdaa1e

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye memandang serius fenomena kebanjiran rangkaian perniagaan warga asing, khususnya dari China, yang menawarkan harga barangan jauh lebih rendah sehingga memberi tekanan kepada ekosistem perniagaan dan peniaga tempatan di Pulau Pinang.

Respons Mooi Lye itu sebagai mengulas kebimbangan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong berhubung persaingan tidak seimbang yang kini menggugat kelangsungan usahawan anak tempatan.

Beliau berkata, pihaknya ada kekangan dari sudut perundangan dan bidang kuasa untuk melaksanakan operasi bersepadu yang melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kawalan harga barangan sebenarnya terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Justeru, pelaksanaan operasi bersepadu yang menyentuh aspek pengawalan harga dilihat kurang bersesuaian buat masa ini kerana ia berada di luar skop bidang kuasa PBT serta agensi terlibat, selain perlu mengambil kira implikasi undang-undang yang rumit,” jelasnya semasa sesi penggulungan bersempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Kelima Belas di sini pada 13 Mei 2026.

Menyentuh mengenai cadangan pengenalan mekanisme cukai tambahan ke atas premis perniagaan asing, Mooi Lye menegaskan bahawa setiap langkah baharu yang ingin diambil perlu mempunyai justifikasi kukuh dan selaras dengan undang-undang sedia ada.

Beliau menyatakan ada kebimbangan, sama ada langkah tersebut benar-benar efektif dalam mengawal harga atau memberi kesan langsung kepada peniaga terbabit.

“(Bagaimanapun,) Kerajaan Negeri komited untuk terus memantau situasi ini bagi memastikan landskap perniagaan di Pulau Pinang kekal mampan dan adil buat semua pihak, terutamanya dalam melindungi kepentingan komuniti peniaga tempatan,” ujarnya kepada Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Azrul Mahathir Aziz.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN