Kerajaan Negeri optimis pelaksanaan projek pembangunan sebagai pemangkin ekonomi sehingga 2050

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang yakin bahawa pelaksanaan projek pembangunan yang direncanakan mampu menjadi pemangkin ekonomi negeri sehingga tahun 2050.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, beliau optimis dengan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang dilihat mampu membantu menjana ekonomi Pulau Pinang pada masa hadapan.

Menurut beliau, perkembangan terkini mengenai projek infrastruktur negeri seperti Projek Pan Island Link 1 (PIL1) dan projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) yang telah memperoleh kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri ke arah menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri mampan.

“Begitu juga Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP) telah diluluskan oleh Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) dan bakal diwartakan pada Ogos 2019.

“Malah, melalui Agenda Hijau Pulau Pinang (PGA) 2020 – 2030 yang sedang dirangka kini, ia akan menjadi rujukan mambangunkan negeri ke arah pembangunan lestari berteraskan kepada United Nations Sustainable Development Goals (UNSDGs),” ucapnya pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-81 Yang di-Pertua Negeri (TYT) Tun Dr. Abdul Rahman Abbas pagi ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus serta dif-dif kehormat dan barisan ex-officio Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Selain itu, Kon Yeow turut memaklumkan mengenai perkembangan ekonomi negeri yang kini mula menunjukkan prestasi yang membanggakan.

“Ditambah pula dengan pelaburan dalam sektor pembuatan yang diluluskan pada suku pertama tahun ini yang telah mengatasi angka keseluruhan tahun 2019 sebanyak RM5.8 bilion.

“Saya percaya peningkatan positif ini adalah hasil gabungan rantaian bekalan yang kukuh, tenaga kerja mahir, infrastruktur yang mantap serta perkhidmatan sokongan daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Pada kesempatan itu juga, Kon Yeow menzahirkan ikrar taat setia serta mendoakan kesejahteraan dan kesihatan TYT sekeluarga yang menjadi tonggak perpaduan serta kemakmuran di Pulau Pinang.

Malah, beliau turut memperbaharui ikrar taat setia kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Perlembagaan Malaysia dan negara tercinta.

Dalam majlis sama, Abdul Rahman ketika menyampaikan ucaptama rasmi menyeru kepada semua warga negeri supaya sentiasa menjaga tutur kata dan saling hormat-menghormati serta menyantuni antara satu sama lain.

Menurut beliau, sekiranya terdapat sesuatu perkara yang meragukan dan memerlukan penjelasan atau sebarang permasalahan dan rintihan, ia perlu diselesaikan mengikut saluran-saluran yang betul.

“Jika terdapat perkara yang meragukan, salurlah mengikut undang-undang bagi membolehkan ia dibincang serta diselesaikan secara berhemah serta penuh diplomasi.

“Bagi tujuan ini, wakil-wakil rakyat, pegawai-pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan, pegawai daerah, penghulu termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang bertindak sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, amatlah diperlukan untuk menyampaikan segala permasalahan rakyat kepada pihak bertanggungjawab.

“Melalui kaedah ini, usaha untuk mengatasi masalah tersebut dapat ditangani dengan segera serta dapat mengelakkan daripada sebarang pertelingkahan,” serunya.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman turut menekankan sifat tanggungjawab ketika menggunakan media sosial agar tidak memberikan kesan negatif dan mencemarkan imej negeri.

”Penggunaan media sosial juga perlu dilakukan dengan bijak dan bukan hanya memaparkan perkara yang negatif sehingga boleh mencemarkan imej negeri dan seterusnya memberi kesan kepada pembangunan negeri.

“Rakyat perlu sentiasa peka dengan perkembangan sekeliling, menjaga kesihatan diri, mengamalkan budaya jimat cermat serta berusaha gigih untuk menambahkan sumber pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup,” ujarnya.

Terdahulu, Abdul Rahman tiba di Dewan Sri Pinang pada jam 9 pagi sambil diiringi oleh isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Ketibaan disambut oleh Kon Yeow dan isteri, Puan Tan Lean Kee sambil diiringi oleh Choo Kiang dan isteri, Datin Teoh Hooi Tuang; Farizan dan isteri, Datin Seri Hamidah Mat Daud serta barisan pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Persekutuan lain.

Upacara diteruskan dengan nyanyian lagu ‘Negaraku’ dan ‘Untuk Negeri Kita’ diikuti dengan 17 das tembakan meriam oleh Pasukan Altileri 41 Bateri Istiadat Kem Sungai Buloh, Kuala Lumpur dan pemeriksaan kawalan kehormat ke atas 103 pegawai serta anggota dari Rejimen Ke-3 Kor Armor DiRaja, Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah.

Dalam dewan istiadat, mendahalui senarai penerima ialah Ketua Hakim Negara, YAA Dato’ Tengku Maimun Tuan Mat yang menerima Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran ‘Dato’ Seri Utama’.

Diikuti penerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) iaitu Ketua Polis Negara, Inspektor Jeneral Dato’ Seri Abdul Hamid Bador dan Jeneral Tan Sri Dato’ Affendi Buang (Panglima Tentera Udara).

Difahamkan, seramai 172 penerima menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri Pulau Pinang pada pagi ini.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI & NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & NUR AMIRAH HUSNA ROSLAN
Video : CHAN KOK KUAN