Majlis Jamuan Teh sempena ulang tahun ke-81 TYT berlangsung meriah

Admin

PANTAI JEREJAK – Majlis Jamuan Teh Peringkat Negeri Sempena Menyambut Ulang Tahun Kelahiran Ke-81 Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dekat SPICE Arena, di sini berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 1,500 tetamu.

Abdul Rahman tiba ke majlis sekitar jam 6 petang bersama-sama isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Persembahan nyanyian dan tarian daripada artis-artis kebudayaan menambahkan kemeriahan majlis.

Beliau diiringi Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang serta isteri dan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow serta isteri, Puan Tan Lean Kee.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; barisan Exco Kerajaan Negeri; Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Seri Farizan Darus.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Hakim Negara, YAA Dato’ Tengku Maimun Tuan Mat serta dif-dif jemputan kehormat yang lain juga turut hadir.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Untuk Negeri Kita dan persembahan tarian Selamat Datang oleh penari-penari daripada Majlis Kebudayaan Negeri.

Chow Kon Yeow menyambut ketibaan Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Kemudian, ia disusuli dengan upacara memotong kek serta penyampaian hadiah daripada Pejabat Daerah Timur Laut dan Pejabat Daerah Barat Daya kepada Abdul Rahman.

Selain jamuan makan, persembahan nyanyian dan tarian tradisional oleh artis-artis kebudayaan menambahkan lagi seri majlis.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN