GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan fenomena El Nino Super menerusi pemantauan cuaca selama 24 jam bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), selain menilai risiko bencana bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, Kerajaan Negeri memandang serius kemungkinan kesan fenomena berkenaan, termasuk suhu melampau, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan dan jerebu.
Menurutnya, penilaian risiko dilaksanakan melalui Unit Pengurusan Bencana Negeri sebelum amaran awal dan nasihat keselamatan disampaikan kepada orang ramai berdasarkan situasi semasa.
“Pemantauan merangkumi keadaan tanpa hujan melebihi tujuh hari berturut-turut, risiko kebakaran hutan melalui Sistem Indeks Bahaya Kebakaran Hutan serta ramalan keadaan jerebu menggunakan model CMAQ,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini hari ini.
Sundarajoo berkata, Kerajaan Negeri turut memperkukuh kesiapsiagaan agensi penyelamat menerusi latihan dan simulasi kecemasan bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan dengan pantas serta berkesan sekiranya berlaku bencana.
Pada masa sama, keperluan mengaktifkan mekanisme Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah akan ditentukan berdasarkan perkembangan situasi semasa.
Beliau berkata, satu pasukan petugas khas yang merangkumi bidang makanan, tenaga, bekalan air, pendidikan dan kesihatan awam turut dirancang bagi menyelaras langkah menangani kemungkinan kesan fenomena tersebut secara menyeluruh.
“Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan Think City melalui Unit Pengurusan Bencana Negeri untuk mempergiat pendidikan dan kesedaran komuniti, termasuk menyediakan kursus untuk jurulatih serta membangunkan garis panduan kesiapsiagaan menghadapi gelombang haba dan banjir,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sundarajoo berkata, isu gangguan kera di Pulau Pinang berada di bawah bidang kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pulau Pinang yang telah melaksanakan pelbagai langkah kawalan bagi mengurangkan gangguan berkenaan.
Antara langkah yang dilaksanakan termasuk pemberian khidmat nasihat, program kesedaran, pemasangan perangkap serta operasi kawalan populasi kera dan babi hutan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri turut menyalurkan bantuan kewangan bagi menyokong usaha pengurusan perangkap kera pada 2022, 2024 dan 2026.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan terlibat turut menyumbangkan perangkap dan peralatan bagi membantu operasi pihak berkuasa.
Walau bagaimanapun, usaha berkenaan berdepan cabaran apabila terdapat segelintir individu yang merosakkan perangkap atau melepaskan semula kera yang telah ditangkap.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar memberikan kerjasama kepada PERHILITAN dengan tidak memberi makanan kepada kera, memastikan sampah dan sisa makanan diuruskan dengan baik serta tidak merosakkan perangkap atau melepaskan hidupan liar yang ditangkap tanpa kebenaran.
“Keutamaan Kerajaan Negeri adalah memastikan keselamatan murid sekolah dan penduduk di kawasan perumahan sentiasa terpelihara, di samping memastikan pengurusan hidupan liar dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan.
“Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi menangani isu ini,” katanya.
Sementara itu, Sundarajoo berkata dalam usaha memupuk budaya kelestarian sejak usia muda, Program Sekolah Hijau Pulau Pinang yang telah lama dilaksanakan kini dipertingkatkan menerusi sistem penarafan bintang di peringkat negeri.
Program itu menawarkan tiga kategori pengiktirafan, iaitu Emas, Perak dan Gangsa, sebagai galakan kepada sekolah untuk memperkukuh amalan serta kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.
Pada masa sama, Penang Green Council memperkenalkan Program Kecemerlangan Hotel Hijau Pulau Pinang 2026 bagi menggalakkan pengusaha hotel mengamalkan operasi mesra alam dan meningkatkan kecekapan penggunaan sumber.
“Inisiatif ini diharap dapat memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan mampan, selari dengan komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan ekonomi hijau dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT