Kerajaan Negeri, pemain industri pelancongan bakal bincang pelan pemulihan pasca PKP

Admin

TANJUNG BUNGA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow meneruskan siri lawatan ke sektor-sektor terjejas di negeri ini rentetan penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020.

 

 

Kon Yeow bersama-sama Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin tiba di salah sebuah hotel terkemuka bertaraf lima bintang, Shangri-La’s Rasa Sayang Resort and Spa yang terletak di Batu Ferringhi petang semalam bagi melihat secara dekat impak terhadap sektor terjejas dan  mendengar pelan pemulihan semula oleh pihak berkaitan apabila PKP ditamatkan kelak.

 

 

Turut mengiringi lawatan tersebut ialah wakil daripada Shangri-La’s Rasa Sayang Resort and Spa iaitu Pengurus Besar, Elaine Yue-Wibisana; Pengarah Komunikasi, Suleiman Tunku Abdul Rahman; Pengarah Jualan Komersial, Sharul Madi; Pengarah Sumber Manusia (Barat Malaysia), JC Ramesh dan Pengurus Residen (Shangri-La’s Rasa Sayang Resort and Spa dan Golden Sands Resort), Christoph Duker.

 

ELAINE Yue- Wibisana (kiri sekali) memberi penerangan kepada Ketua Menteri dan Yeoh Soon Hin berhubung inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak hotel tersebut.

Menurut Kon Yeow, sektor-sektor yang terjejas seperti sektor pelancongan misalnya perlu mempunyai perancangan untuk masa hadapan.

 

 

“Langkah awal pemulihan yang harus dilakukan adalah dengan memperkenalkan pakej-pakej insentif bagi menarik kemasukan pelancong ke Pulau Pinang.

 

 

“(Hal ini kerana), Pulau Pinang sentiasa menjadi pilihan pengunjung dan dengan adanya insentif tertentu ia secara tidak langsung dapat membantu lebih ramai orang memilih negeri ini sebagai destinasi pilihan,” ujarnya yang akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak-pihak berwajib berhubung insentif pelancongan pasca PKP.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri optimis dengan perancangan awal pihak-pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan yang dilihat dapat mengembalikan semula kerancakan sektor tersebut di negeri ini.

 

 

“Sumbangan sektor pelancongan terhadap pembangunan negeri sangat memberangsangkan dan memandangkan kini sektor ini menghadapi cabaran getir, maka Kerajaan Negeri harus bekerjasama dengan pemain industri (pelancongan) bagi memulihkan semula sektor ini.

 

 

“Saya optimis dengan perancangan awal (pihak-pihak berkepentingan) bagi melihat semula (sektor) pelancongan ini khasnya pelancongan domestik sebagai permulaan.

KETUA Menteri dibawa meninjau ke persekitaran hotel.

“Kerajaan Negeri mesti membuktikan bahawa Pulau Pinang merupakan negeri selamat.

 

 

“(Dan) rakyat mesti yakin bahawa negeri ini selamat, segala kemudahan di hotel-hotel adalah selamat agar kita boleh mengambil langkah awal untuk menyambung semula operasi perhotelan di negeri ini.

 

 

“Dalam masa sama merancang untuk mengembalikan semula keadaan seperti sedia kala termasuk merancakkan kembali pelancongan antarabangsa dan MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran),” jelasnya.

 

 

Dalam pada itu, Elaine ketika ditemui menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri kerana melapangkan masa hadir ke hotel berkenaan bagi memantau situasi semasa dan mendengar perkongsian daripada pihak hotel.

 

 

“Melalui lawatan sebegini banyak perkara yang boleh dikongsikan kepada pihak Kerajaan Negeri berbanding bertemu dalam forum-forum besar.

 

 

“(Dan) ini adalah peluang terbaik untuk pihak kami berkongsi dengan lebih terperinci dan tertumpu,” katanya yang berharap pihak kerajaan dapat memainkan peranan dalam membantu memulihkan semula industri pelancongan secara keseluruhannya.

 

 

Tambah Elaine, sebagai permulaan pengusaha hotel dan pemain industri berkaitan perlu menyokong saranan Kerajaan Negeri dengan melaksanakan tatacara operasi standard (SOP) termasuk mematuhi tahap kebersihan yang tinggi dalam memastikan Pulau Pinang negeri selamat.

 

 

Sejurus lawatan, Kon Yeow dan Soon Hin mengadakan perbincangan tertutup bersama-sama wakil Shangri-La’s Rasa Sayang Resort and Spa.

 

 

Antara yang dibangkitkan termasuk isu penggajian, subsidi, insentif daripada pihak kerajaan, caj perkhidmatan, pencukaian serta perancangan pasca PKP dan COVID-19.

 

 

Malah, Kerajaan Negeri juga bakal memulakan perbincangan bersama-sama agensi penerbangan bagi melihat insentif yang dapat dibangunkan secara bersama dalam mengembalikan semula kerancakkan sektor pelancongan di negeri ini.

 

 

Sementara itu, Buletin Mutiara sempat menemui Suleiman dan difahamkan bahawa pihak Shangri-La’s Rasa Sayang Resort and Spa mengambil inisiatif menyediakan kemudahan istirahat dan makanan kepada barisan hadapan.

 

 

Menurut Suleiman, pihak hotel terbabit telah memulakan inisiatif tersebut sejak pelaksanaan PKP Fasa 1.

 

 

“Pihak hotel telah memulakan inisiatif ini sejak Fasa 1 PKP lagi yang mana pihak kami menyediakan makanan untuk barisan hadapan.

 

 

“Bagi bulan Ramadan ini juga, pihak kami menyediakan makanan untuk sahur dan berbuka puasa selain menyediakan kemudahan untuk mandi dan istirahat,” ulasnya.

 

 

Sebagai rekod, pengurusan Shangri-La’s Rasa Sayang Resort and Spa dan Golden Sands Resort setakat hari ini mempunyai 720 kakitangan dan tiada pemotongan gaji dilaksanakan oleh pihak pengurusan hotel berkenaan sepanjang tempoh PKP ini.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN