Kerajaan Negeri perlu teroka pendapatan baharu tangani defisit

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri perlu serius menerokai penjanaan pendapatan baharu dalam menangani anggaran perbelanjaan defisit dalam Bajet Negeri Tahun 2024.

 

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik berkata antara cadangan yang boleh dipertimbangkan adalah menerusi pembukaan tanah perindustrian baru oleh  Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan pihak swasta yang layak.

 

 

“Langkah ini dilihat mampu meningkatkan Bayaran Permohonan Tanah, Bayaran Pendaftaran Tanah, Cukai Tahun Pertama serta Cukai Tanah Berulang.

 

 

“Saya berpendapat ladang kelapa sawit dan getah tidak lagi ekonomik diusahakan di Pulau Pinang atas kekangan skala ekonomi, kekurangan tenaga kerja dan tekanan permintaan tanah perindustrian,” ujar Choon Aik pada sesi perbahasan Bajet 2024 Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Ke-15 di sini sebentar tadi.

 

 

 

Beliau dalam pada itu turut menyokong penuh usaha Kerajaan Negeri untuk mencalonkan Kompleks Hutan Simpan Paya Laut di pesisir pantai Penaga – Teluk Air Tawar sebagai Flyway Site Network.

 

 

 

“Destinasi ekopelancongan baru ini akan menarik lebih ramai pelancong antarabangsa untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sekali gus  mendorong lonjakan mendadak dalam sektor perkhidmatan terutamanya sub sektor perhotelan, pengangkutan, peruncitan, makanan dan minuman.

 

 

“Saya juga menyokong cadangan Kerajaan Negeri untuk mewartakan Kawasan Beting Tengah termasuk Pulau Gazumbo sebagai Santuari Marin Middle Bank.

 

 

“Kejayaan pewartaan ini akan merancakkan perkhidmatan teksi air yang sudah lama tertangguh dan ini mampu mempromosikan destinasi pelancongan marin menerusi island hopping yang meliputi Pulau Aman, Pulau Gedung, Pulau Jerejak, Pulau Rimau, Pulau Kendi, Pulau Gazumbo dan Flyway Site Network.

 

 

“Pulau-pulau milik Kerajaan Negeri boleh dibuka untuk Request For Proposal (RFP) bagi pembangunan produk pelancongan yang mampu menjana pendapatan baharu,” jelas Choon Aik lagi.

 

 

Selain itu, Choon Aik berkata bahawa Kerajaan Negeri perlu agresif mempelopori Tenaga Boleh Baharu (TBB) untuk menjana pendapatan baharu selain mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan penjimatan bil elektrik di premis-premis milik Kerajaan Negeri.

 

 

 

Beberapa perkara lain juga turut dibangkitkan Choon Aik termasuk isu berkaitan perumahan mampu milik kepada golongan berpendapatan sederhana rendah (M40), permohonan peruntukan naik taraf jalan raya yang lebih daripada Kerajaan Persekutuan, peruntukan untuk pertanian dan keterjaminan makanan serta peruntukan untuk memperkasakan sektor perikanan.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SIEW CHIA EN