Kerajaan Negeri peruntuk RM2.66 juta laksana program saringan mamogram percuma – Exco

Admin

KEPALA BATAS – Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang ditandatangani hari ini bakal memberi manfaat kepada golongan wanita Pulau Pinang.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata program ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri di bawah Program Penang Sihat.

“Pelaksanaan program ini adalah kesinambungan sejak tahun 2015 dan sehingga tahun 2018, seramai 11,834 orang wanita berumur 35 tahun dan ke atas telah disaring secara percuma.

“Kali ini, kita (Kerajaan Negeri bersama-sama LPPKN) menyasarkan wanita yang berumur 35 tahun dan ke atas untuk mendapat saringan mamogram percuma kerana Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM2.66 juta bagi menjayakan program ini,” ucapnya semasa menghadiri majlis menandatangani memorandum berkenaan di Dewan Pavilion Pusat Keluarga LPPKN tengah hari tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat, Hannah Yeoh; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Azhar Arshad.

Turut serta, Pengerusi LPPKN Malaysia, Dato’ Dr. Narimah Awin; Ketua Pengarah LPPKN Malaysia, Abdul Shukur Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LPPKN Malaysia, Adzhar Ismail dan Pengarah LPPKN Pulau Pinang, Dr. Azura Abdullah.

Mengulas lanjut, Afif memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri di bawah Program Penang Sihat sedang merangka pelbagai program kepada masyarakat bagi menuju visi Penang2030.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited dengan program-program seumpama ini dan akan terus memberi perhatian yang sewajarnya dalam meningkatkan kesedaran kaum wanita tentang kanser payudara,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Hannah Yeoh yang turut berucap menyambut baik usaha yang ditonjolkan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan program sebegini kerana Pulau Pinang mencatatkan kadar pesakit kanser payu dara paling tinggi di Malaysia.

“Saya percaya menerusi kerjasama seperti ini akan membolehkan lebih ramai wanita di negeri Pulau Pinang mendapat manfaat dan akses kepada perkhidmatan saringan ujian mamogram selain daripada (perkhidmatan) yang ditawarkan hospital kerajaan pada masa ini,” ucapnya.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS