GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM49.26 juta bagi memperoleh 1,133 unit Rumah MutiaraKu (RMKu) di Pulau Pinang untuk ditawarkan kepada golongan layak menerusi Skim Sewa Beli (Rent-to-Own, RTO).
Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, inisiatif melibatkan lima projek perumahan itu bertujuan memperluas peluang pemilikan rumah, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan rentan.
“Pembelian unit kediaman berkenaan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 4,000 hingga 5,000 penduduk Pulau Pinang berdasarkan purata empat orang bagi setiap isi rumah.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan penyediaan rumah mampu milik dilaksanakan berdasarkan kemampuan sebenar rakyat, selaras dengan slogan perumahan negeri iaitu ‘Satu Keluarga Satu Rumah’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Muhammad Fauzi Yusoff pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Kelima Belas di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Sundarajoo berkata, Kerajaan Negeri menyediakan dua kaedah utama bagi membolehkan rakyat memiliki kediaman menerusi skim RMKu, iaitu kaedah jual beli dan Skim RTO.
Jelasnya, Skim RTO diperluas sebagai alternatif kepada pembelian rumah secara konvensional, khususnya bagi membantu pemohon yang berdepan kekangan kewangan atau kesukaran mendapatkan kelulusan pembiayaan daripada institusi perbankan.
“Melalui skim ini, pemohon yang memenuhi syarat kelayakan berpeluang menduduki kediaman dengan bayaran bulanan serendah RM250.
“Perjanjian sewa beli dengan Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) adalah bagi tempoh antara 15 hingga 20 tahun tanpa kadar faedah, manakala hak milik kediaman boleh dipindah milik selepas keseluruhan bayaran diselesaikan, tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sundarajoo memaklumkan bahawa pelaksanaan Skim RTO ketika ini melibatkan kediaman RMKu Jenis A, B dan C dengan sasaran penyediaan sebanyak 22,000 unit menjelang 2030, selaras dengan Visi Penang2030.
Menurut ADUN Perai itu, penawaran RMKu Jenis A pada harga serendah RM42,000 turut menjadi antara inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.
Sementara itu, katanya, berdasarkan rekod sistem PgHome LPNPP sehingga 16 Oktober 2026, seramai 3,656 pemohon aktif direkodkan bagi kategori RMKu A (794), B1 (593), B2 (tiada), C1 (492), C2 (291) dan C3 (1,486) di seluruh Pulau Pinang.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS