Naik taraf parkir motosikal demi selesa dan keselamatan penduduk

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADUN

AIR ITAM – Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM85,100 bagi menaik taraf tempat letak motosikal di Blok B Perumahan Awam Kampung Melayu dekat sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkata bahawa penaiktarafan tersebut difikirkan perlu ekoran struktur bumbungnya telah usang.
“Kami khuatir sekiranya berlaku ribut, mungkin harta benda atau motosikal yang diparkir di sini akan menerima kesan tidak diingin.
“Malah, kita juga bernasib baik kerana kerja-kerja pembinaan telah dimulakan sebelum berlakunya Taufan Lekima kira-kira dua minggi sebelum ini,’’ katanya pada sidang media di lokasi berkaitan dekat sini 21 Ogos lalu.
Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Rohaizad Hamid serta Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Melayu.
Mengulas lanjut, Soon Siang memberitahu bahawa kerja-kerja naik taraf telah dimulakan sejak 16 Julai lalu dan dijangka siap pada 29 September ini.
“Antara skop-skop kerja terlibat termasuk merobohkan binaan asal, membina semula bumbung baharu, kerja-kerja pendawaian lampu dan menyapu cat garisan untuk motosikal.
“Kerja-kerja tambahan lain adalah membuat semula longkang di parkir, membersihkan kawasan semak dekat cerun berhampiran (parkir) dan menurap jalan,” jelasnya lanjut.
Selain itu, Soon Siang turut memaklumkan bahawa beliau akan menggunakan peruntukannya untuk membuat pagar serta melebarkan laluan masuk kereta di kawasan berkenaan memandangkan pernah berlakunya insiden kenderaan jatuh ke dalam longkang berhampiran jalan masuk selain perancangan untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di dalam lif di Flat Kampung Melayu.