Kerajaan Negeri peruntuk subsidi tambang ‘feri’ sejak Julai 2021

GEORGE TOWN – Seramai 357,898 penumpang menggunakan perkhidmatan feri bot laju (katamaran) bagi penumpang pejalan kaki antara tempoh 1 Januari 2021 sehingga Oktober 2021.

 

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, perkhidmatan tersebut dianggap mendapat sambutan memberangsangkan berdasarkan rekod penumpang (ridership) yang dikemukakan kepada Kerajaan Negeri setiap bulan.

 

ZAIRIL Khir Johari.

Peningkatan ridership secara konsisten juga dicatatkan setelah Kerajaan Negeri memperuntukkan subsidi dengan membiayai tambang feri (katamaran) sepenuhnya kepada semua penumpang pejalan kaki warganegara Malaysia sejak 1 Julai 2021.

 

“Selain itu, perkhidmatan ini mendapat sambutan baik kerana ia lebih selesa, selamat dan cepat berbanding perkhidmatan feri lama,” ujarnya bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil di Dewan Undangan Negeri pada 1 Disember 2021.

 

Menjawab soalan tambahan selepas itu berhubung cadangan menaik taraf terminal-terminal sedia ada, Zairil memaklumkan bahawa cadangan penaiktarafan sedang dilaksanakan oleh pihak berwajib, iaitu Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) memandangkan terminal-terminal tersebut tidak dimiliki oleh Kerajaan Negeri.

 

MUHAMAD Yusoff Mohd. Noor.

Dalam sesi sama, ADUN Sungai Dua, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor turut membangkitkan isu berkaitan menukar guna feri lama sebagai ikon negeri.

 

Zairil sebagai respons memberitahu bahawa idea mengekalkan sekurang-kurangnya sebuah feri ikonik adalah sama seperti yang diminta oleh Kerajaan Negeri sebelum ini.

 

Kerajaan Negeri bukan pengoperasi mahupun pemilik feri Pulau Pinang namun idea untuk menggunakan feri ikonik adalah perkara sama yang diminta oleh Kerajaan Negeri sebelum dimulakan perkhidmatan katamaran, sekurang-kurangnya sebuah feri Pulau Pinang dikekalkan (sebagai ikon negeri).

 

“Walau bagaimanapun, respons yang diterima oleh Kerajaan Negeri daripada PPSB adalah berkaitan kos penaiktarafan serta penyelenggaraan feri lama yang terlalu mahal dan kita (Kerajaan Negeri) akur kerana ia bukan di bawah bidang kuasa kita,” jelasnya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Keempat Belas di sini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN