Penyertaan Pulau Pinang ke Ekspo 2020 Dubai beri manfaat berganda – Abdul Halim

GEORGE TOWN – Pulau Pinang bakal menyertai Ekspo 2020 Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) melalui program ‘Minggu Pulau Pinang’ pada 16 hingga 23 Januari 2022.

 

Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata bahawa penyertaan Pulau Pinang adalah bertujuan memberi fokus dalam mempromosikan sektor pelancongan, kesihatan, pendidikan, pembuatan, logistik, inisiatif halal dan lain-lain bidang.

 

“Majlis perasmian penyertaan Pulau Pinang ke Ekspo 2020 Dubai ini akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak pada 17 Januari 2022.

 

“Saya selaku Exco berwajib akan mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke ekspo ini bersama-sama Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin,” ujarnya pada sidang media yang diadakan secara langsung menerusi laman Facebook Buletin Mutiara pada 1 Disember 2021.

 

ABDUL Halim Hussain (dua dari kanan) pada sidang media pengumuman penyertaan Pulau Pinang ke Ekspo 2021 Dubai.

Difahamkan, sebanyak lapan agensi Negeri dan Persekutuan serta 10 syarikat dan usahawan Pulau Pinang telah bersetuju untuk menyertai ekspo berkaitan. Antaranya, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC); Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN); Penang Port Sdn. Bhd.; Penang Global Tourism; Penang Halal International (PHI) Sdn. Bhd.; InvestPenang; Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) dan Wakaf Pulau Pinang.

 

Manakala Syarikat Bot Industries International Sdn. Bhd.; CHL Innovation Industries Sdn. Bhd.; Alhaddad Marketing Sdn. Bhd.; Jin Huo Gold & Jewellery Industries (M) Sdn. Bhd. dan Sim Leisure Group Limited antara syarikat dan usahawan yang bakal turut serta dalam Ekspo 2020 Dubai.

 

Mengulas lanjut, Abdul Halim memaklumkan bahawa selain mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan pilihan utama di rantau Asia, penyertaan ke Ekspo 2020 Dubai juga bertujuan mempromosikan ‘Pulau Mutiara’ sebagai destinasi pilihan pelabur terutamanya bagi sektor pembuatan berkualiti dan berteknologi tinggi.

 

“Malah, kita juga mahu memperkenalkan Pulau Pinang sebagai gerbang halal dan agroteknologi serta membuka peluang dan ruang kepada syarikat tempatan menerokai pasaran pada peringkat global khususnya di Timur Tengah dan Afrika Utara.

 

“(Dan) mengenai usaha menarik pelaburan ke Pulau Pinang, sebanyak lapan projek pemangkin bakal diketengahkan semasa ekspo tersebut termasuk pembangunan di Taman Perindustrian Batu Kawan 2 (BKIP 2), Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP 3); Bandar Perubatan di Bandar Cassia, Kolej Islam di Bandar Cassia dan pelancongan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

 

“Kita (Pulau Pinang) juga bakal memeterai dua perjanjian persefahaman (MoU) dan perjanjian perjanjian (MoA) di ekspo tersebut nanti selain mengadakan lawatan kerja, perbincangan kerjasama, padanan perniagaan, forum dan demonstrasi produk dan perkhidmatan.

 

“Saya yakin bahawa penyertaan Pulau Pinang ini bakal meraih manfaat berganda kepada pembangunan ekonomi negeri dan juga membuka peluang kepada usahawan tempatan meluaskan jaringan perniagaan mereka,” jelasnya.

EKSPO 2020 Dubai merupakan ekspo dunia pertama diadakan di rantau Timur Tengah Afrika dan Asia Selatan, serta merupakan satu-satunya acara tertua dan terbesar di dunia yang diadakan setiap lima tahun. (Gambar : Morocco World News)

Menurut Abdul Halim, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) selaku kementerian yang menerajui penyertaan Malaysia ke Ekspo 2020 Dubai (bersama-sama Malaysian Green Technology Corporation, MGTC) turut menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi penyertaan kali ini.

 

“Antaranya, RM500 juta nilai potensi dagangan dan pelaburan; penyertaan seramai 200 orang bagi semua program yang dianjurkan sepanjang ‘Minggu Pulau Pinang’; 50 ‘business leads’; 20 reruai pameran oleh syarikat Malaysia yang ‘export ready’ serta menandatangani sekurang-kurangnya satu MoU atau MoA dengan syarikat luar negara yang berminat melabur di Pulau Pinang,” katanya.

 

Bertemakan ‘Connecting Minds, Creating the Future’, Ekspo 2020 Dubai berlangsung selama enam bulan bermula 1 Oktober 2021 lalu dan bakal berakhir pada 31 Mac 2022.

 

Ekspo 2020 Dubai merupakan ekspo dunia pertama diadakan di rantau Timur Tengah Afrika dan Asia Selatan, serta merupakan satu-satunya acara tertua dan terbesar di dunia yang diadakan setiap lima tahun. Kali terakhir ekspo tersebut diadakan adalah di Milan, Itali pada tahun 2015.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN