Kerajaan Negeri, rakyat Pulau Pinang berjaya harungi tempoh mencabar

Admin

TANJUNG BUNGA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan bahawa usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang dan kerjasama rakyat di negeri ini telah berjaya mengharungi krisis paling mencabar sejak tiga tahun lepas.

 

Menurut beliau, walaupun terpaksa berdepan krisis seperti penularan pandemik COVID-19, ketidaktentuan politik dan ekonomi serantau, negeri Pulau Pinang khasnya, mengharungi tempoh tersebut dengan lebih baik.

 

“Sebagai Ketua Menteri, saya bersyukur kerana dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, walaupun terpaksa berdepan dengan krisis kesihatan, politik dan ekonomi, negeri kita dapat pulih dengan baik.

 

“Hal ini demikian kerana, dengan usaha yang dilaksanakan kerajaan dan kerjasama semua rakyat termasuk sektor korporat dan swasta serta badan-badan bukan kerajaan (NGO), maka pembangunan ekonomi terus rancak sehingga berjaya mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang paling tinggi walaupun dalam tempoh krisis.

 

“Begitu juga dari segi pelaburan, pengeksportan dan lebihan dagangan yang mana kita (Pulau Pinang) menduduki tempat teratas,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah dan Ekonomi pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KADUN Tanjung Bunga dan Parlimen Bukit Bendera yang diadakan di kawasan lapang berhadapan Pangsapuri Warisan Tanjung dekat sini.

 

CHOW Kon Yeow ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KADUN Tanjung Bunga dan Parlimen Bukit Bendera di sini.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Zairil Khir Johari yang merupakan Exco Infrastruktur dan Pengangkutan dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, selaku tuan rumah majlis berkenaan; ADUN Air Putih yang juga Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Pegawai Kewangan Negeri, Zabidah Safar serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ A. Rajendran.

 

Barisan Ahli Majlis bagi MBPP serta MPKK di bawah Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Tanjung Bunga antara yang turut serta memeriahkan majlis tersebut.

 

Mengulas dari segi krisis politik, jelas Kon Yeow, rakyat telah membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas meskipun tiada mana-mana gabungan parti meraih majoriti mudah.

 

“Namun dengan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Tuanku berjaya memulihkan pergolakan politik dan menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

 

“(Dan) syukur kerana dalam tempoh sehingga kini, banyak perkara dapat dilaksanakan untuk menstabilkan politik di negara ini yang membawa ke arah keamanan, perpaduan dan kesejahteraan serta membawa perubahan yang baik demi Malaysia,” jelasnya.

ANTARA gelagat yang sempat dirakam tatkala Ketua Menteri sendiri mengambil ‘we-fie’ bersama-sama tetamu di meja makan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri juga memainkan peranan dalam menangani krisis-krisis berkaitan, antaranya (krisis) kesihatan yang mana kita (Kerajaan Negeri) sentiasa bekerjasama dengan semua pihak demi memastikan kelangsungan program vaksinasi dilaksanakan dengan baik sehingga dikatakan antara negeri yang paling efisien melaksanakannya.

 

“Selain itu, kita juga akan meneruskan usaha untuk mendapatkan perhatian daripada Kerajaan Persekutuan agar projek-projek pembangunan infrastruktur dan industri diluluskan demi kelangsungan Visi Penang2030 serta Malaysia Madani,” katanya.

 

Pada aspek politik, Kon Yeow memaklumkan bahawa proses rundingan bagi pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional kini dalam peringkat akhir.

 

“Namun, saya melihat bahawa masa hadapan negeri Pulau Pinang amat cerah di bawah pentadbiran Pakatan Harapan dan berharap agar dapat diteruskan ke Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

 

“Teruskan memberi mandat supaya kita semua dapat melihat kesinambungan kejayaan pentadbiran Pakatan Harapan kini pada masa hadapan.

 

“Cabaran masih besar tetapi saya percaya dengan sokongan rakyat dan penglibatan semua pihak, sama ada dari sektor swasta mahupun rangkaian pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), kita berjaya mencipta lebih banyak kejayaan sekali gus meningkatkan mutu kehidupan rakyat di negeri ini.

 

“Tidak dilupakan peranan pada peringkat akar umbi seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Rukun Tetangga, kariah masjid dan pertubuhan agama lain dalam membentuk kerjasama yang utuh.

 

“Ayuh semua, kita mainkan peranan supaya negeri Pulau Pinang terus maju, rakyat hidup dengan harmoni dan sejahtera!” serunya bersemangat.

 

JUADAH nasi minyak dan ayam masak merah turut mendapat sambutan.

Pada majlis tersebut, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan, turut meluangkan masa menyantuni tetamu dari meja ke meja serta beramah-mesra dengan tetamu yang datang.

 

Pelbagai juadah enak disajikan antara yang mendapat sambutan adalah char kuetiau, air tebu dan agar-agar kelapa.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT