Kerajaan Negeri rintis transaksi tanpa tunai di Pasar Awam & Kompleks Makanan Taman Tun Sardon

SERI DELIMA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini melaksanakan projek rintis e-pembayaran di Pasar Awam Taman Tun Sardon dan Kompleks Makanan Taman Tun Sardon  dalam usahanya memangkin negeri ke arah merealisasikan masyarakat tanpa tunai.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, inisiatif itu adalah selaras dengan visi dan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkembangkan penggunaan teknologi di kalangan para peniaga di negeri ini.

Jelasnya, bagi mencapai aspirasi tersebut, Kerajaan Negeri melalui Bahagian Kerajaan Tempatan telah bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM), WCIT2020 Sdn. Bhd. dan institusi kewangan serta pengeluar wang elektronik bukan bank seperti Grab dan Boost untuk menggalakkan lebih banyak perniagaan menggunakan e-pembayaran di Pulau Pinang.

“Pembelian tanpa tunai merupakan salah satu norma baru yang dipraktiskan oleh rakyat Malaysia kini.

“Kewujudan sistem e-pembayaran yang canggih seperti e-dompet, akan membolehkan para peniaga menikmati pelbagai manfaat dari segi kos, kecekapan, keselamatan dan akan memberi lebih banyak kelebihan kepada perniagaan dari aspek mudah dan cepat, selamat serta peluang meningkatkan jualan.

“Justeru, sebagai langkah permulaan, Kerajaan Negeri telah memilih Pasar Awam Taman Tun Sardon dan Kompleks Makanan Taman Tun Sardon sebagai projek rintis sebelum dikembangkan ke semua pasar awam dan kompleks makanan di seluruh negeri Pulau Pinang.

“Untuk melaksanakannya, kita (Kerajaan Negeri) telah mendapat sokongan penuh daripada Persatuan Penjaja Taman Tun Sardon dan ia diterima baik oleh para peniaga di sini,” ujarnya pada sidang media pengumuman inisiatif berkaitan di sini pagi tadi.

Pada ketika ini, terdapat 25 peniaga aktif di Pasar Awam Taman Tun Sardon dan sebanyak 17 peniaga telah berdaftar melalui aplikasi Maybank QRPay, Grab App dan Boost. Manakala, di Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara (Seberang Perai) sebanyak 15 peratus peniaga telah mula melaksanakan pembelian tanpa tunai tersebut.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Seiring itu, Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat menyeru penduduk Pulau Pinang untuk menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai dan dalam usaha menarik orang ramai menggunakannya pelbagai promosi menarik disediakan.

“Antara promosi menarik yang disediakan oleh penyedia dompet adalah bagi pengguna dan peniaga aplikasi Boost (RM30) masing-masing akan menerima RM3 cashback (tertakluk terma), kedua-dua cashback ini bermula pada 1 hingga 14 Mei 2020.

“Manakala, bagi aplikasi Maybank QRPay, melalui kod promosi istimewa iaitu PTTS mereka akan menerima cashback bernilai RM2 bagi setiap transaksi terhad kepada tiga kali pembayaran,” ujarnya sambil memberitahu bahawa Kerajaan Negeri komited untuk menyediakan ekosistem negeri yang terus mampan bagi menjamin kesejahteraan rakyat Pulau Pinang.

Dalam perkembangan berasingan, Jagdeep memaklumkan bahawa di pentadbiran MBPP, pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berada pada kadar 99.45 peratus, manakala MBSP (99.32 peratus).

“Di MBPP, sebanyak 92,594 permis telah diperiksa sejak PKP dilaksanakan mulai 18 Mac lalu, manakala MBSP 126,942 premis diperiksa,” ujarnya lanjut.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar: MBPP