Kon Yeow pantau asrama pekerja, harap tiada kluster buruh asing positif COVID-19

Admin

BUKIT TENGAH – Masuk hari ke-40 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow pada petang tadi membuat pemantauan keadaan asrama pekerja Westlite Accommodation dekat Bukit Minyak di sini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, beliau berharap tiada kluster baharu dalam kalangan buruh asing yang menghuni asrama pekerja di sini, didapati positif COVID-19.

“Kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) buat lawatan (ke asrama pekerja Westlite Accommodation) kerana prihatin terhadap COVID-19.

“Dengan kepadatan penghuni (asrama) sedemikian, kita (Kerajaan Negeri) tidak mahu keadaan seperti di Singapura (dengan peningkatan kes positif COVID-19 melibatkan buruh asing) berlaku di negeri kita.

“Kita berharap tiada kluster dalam kalangan pekerja asing, baik yang menghuni di asrama ini ataupun di tempat kerja (kilang).

“Saya percaya MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai) pun akan memantau pelaksanaan amalan jarak sosial ketika PKP, pegawai-pegawainya akan melawat tempat penginapan para pekerja asing ini,” jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang bersempenan lawatan beliau di sini pada 26 April 2020.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leong; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani turut sertai lawatan ringkas tersebut.

Hadir sama, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Supritendan Baeyah Abdul Wahab dan Ketua Polis Balai Simpang Empat, K.P. Surestaran.

Selain itu, Kon Yeow turut menyeru kepada para penggerak industri supaya saling bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan serta keselamatan para pekerja termasuk buruh asing di kilang-kilang masing-masing senantiasa patuh pada PKP, dan bebas daripada ancaman COVID-19.

Sebelum itu, Pengurus Perniagaan, Tony Teh memberitahu bahawa asrama pekerja Westlite Accommodation diuruskan oleh syarikat swasta iaitu Westlite Dormitory (Bukit Minyak) Sdn. Bhd..

Tambah beliau, asrama buruh itu terdiri daripada 369 unit asrama, dengan setiap satu unit boleh dihuni antara 12 hingga 16 orang.

Mula dibuka pada tahun lepas, Tony menyatakan bahawa sehingga kini, 120 unit asrama telahpun dihuni oleh pekerja asing sahaja.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Tony berkata bahawa sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, tiap-tiap buruh asing yang masuk dan keluar dari asrama pekerja Westlite Accommodation akan diperiksa suhu badan mereka supaya bebas daripada tanda-tanda awal COVID-19.

“Kalau suhu badan adalah normal, baru dibenarkan bergerak ikut PKP, kalau suhu badan tidak normal, mereka terus akan ditempatkan di unit isolasi yang disediakan di sini, untuk tindakan selanjutnya (seperti) pasukan kita akan segera mendapatkan konsultasi doktor.

“Jadi, secara umum, semua perkara (berkaitan PKP) di sini adalah masih dalam kawalan lagi,” ulasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD