Kerajaan Negeri sambut baik inovasi baru pembinaan RMM

Admin

PERMATANG BERANGAN – Scientex Tasek Gelugor yang dibina oleh pemaju Scientex Berhad Group menjadi projek pembinaan rumah mampu milik (RMM) jenis teres dua tingkat pertama dibina di negeri Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri menyambut baik inovasi pembinaan tersebut yang menyokong usaha penyediaan RMM bermutu tinggi di negeri ini.

“Kerajaan Negeri bangga untuk menyatakan bahawa Scientex Tasuk Gelugor merupakan projek pembinaan RMM pertama di negeri ini bercirikan Skim RMM Jenis Teres ‘Landed’ 2 Tingkat dengan status pemilikan individu.

Chow Kon Yeow menyampaikan surat tawaran rumah mampu milik Scientex Tasek Gelugur kepada pembeli yang layak.

“Projek ini bukan sahaja menyediakan satu alternatif dan lembaran baru dalam perspektif pemilikan rumah impian, malah turut meyokong keseluruhan penyediaan serta pembekalan rumah mampu milik yang kondusif dan bermutu tinggi di negeri ini.

“Selama ini, kita hanya membayangkan bahawa RMM adalah tidak melebihi 850 kaki persegi, tetapi ini membuktikan bahawa sekiranya ada unsur-unsur sesuai, projek perumahan seperti ini juga boleh dijayakan oleh pemaju yang berpengalaman.

“Dalam kes ini, saya percaya pihak Hartanah Scientex yang sudah menceburi sektor hartanah sejak tahun 1995 mempunyai cukup pengalaman untuk mereka bentuk rumah-rumah sesuai didiami oleh pembeli,” katanya semasa merasmikan Majlis Pembukaan Rumah Contoh Scientex Tasek Gelugor dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Pengarah Urusan Scientex, Lim Peng Jin serta Ketua Pegawai Operasi Hartanah Scientex, Datuk Alex Khaw Giet Thye.

Meninjau ruangan dalam projek perumahan Scientex Tasek Gelugur.

Pada majlis itu juga, Kon Yeow turut menyampaikan surat tawaran kepada pembeli-pembeli yang layak.

Tambah beliau, pembinaan projek berkaitan juga selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menambah baik kualiti kehidupan demi mencapai sasaran menyediakan perumahan yang selesa serta mencukupi kepada rakyat di negeri ini.

“Selaras dengan hasrat itu, Kerajaan Negeri telah meletakkan sasaran baharu untuk menyediakan 220,000 unit RMM menjelang 2030 berbanding sasaran asal iaitu 180,000 unit seperti yang terkandung dalam Visi Penang2030.

“Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri juga memperkenalkan Kempen Pemilikan Rumah Negeri Pulau Pinang 2020, termasuk menyediakan insentif tambahan melalui pemberian diskaun, pengecualian dan aspek pematuhan yang dijangka dapat mengurangkan kos pembinaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jagdeep menjelaskan bahawa sasaran baru tersebut adalah realistik memandangkan Pulau Pinang telah berjaya menyediakan 114,000 unit RMM dalam pebagai peringkat pembinaan ketika ini.

“Ini menunjukkan bahawa kita (Kerajaan Negeri) telah mencapai 50.03 peratus daripada sasaran yang telah kita tetapkan,” ulasnya.

Sementara itu, Alex Khaw memaklumkan bahawa projek Scientex Tasek Gelugor dibina menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang telah mempercepatkan lagi tempoh pembinaan.

Chow Kon Yeow sebelum menyempurnakan acara memotong reben.

“Kami berjanji dalam tempoh lima tahun ini, sejumlah 2,332 unit teres dua tingkat mampu milik Pulau Pinang akan siap dibina di Tasek Gelugor,” katanya.

Beliau berkata, visi Scientex ketika ini adalah untuk membina serta menyiapkan kira-kira 50,000 unit RMM menjelang tahun 2028.

“Sehingga kini, Scientex telah berjaya membina lebih 22,000 unit RMM berharga bawah RM500,000 yang mana 70 peratus daripadanya berharga bawah RM300,000,” jelasnya.

Difahamkan, projek perumahan Scientex Tasek Gelugor dibina di atas tanah seluas 179.69 ekar dengan anggaran kos berjumlah RM500 juta.

Pembinaan projek berkaitan bermula pada 1 Oktober 2020 dengan fasa pertama melibatkan 382 unit rumah teres dan dijangka siap pada Julai 2022 manakala keseluruhan projek pula dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2025.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD