Kerajaan Negeri sasar latih 1,200 usahawan ke arah perniagaan digital bagi tingkatkan pendapatan

Admin

BATU UBAN – Kerajaan Negeri menyasarkan seramai 1,200 usahawan di negeri ini menerima latihan asas perniagaan digital pada tahun ini.

Exco Perdagangan Antarabangsan & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata, latihan tersebut penting dalam usaha memperkasakan bidang perniagaan digital bagi meningkatkan pendapatan usahawan.

“Ini tidak termasuk latihan atau asas yang diterima melalui agensi-agensi kerajaan lain atau anak-anak syarikat milikan kerajaan mahupun swasta.

“Memang menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk memajukan bidang ini memandang model perniagaan hari ini telah berubah kepada ‘hujung jari’ sahaja,” ujarnya ketika berucap merasmikan Seminar eUsahawan Go Penang Digital di Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus E-Usahawan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Esza Mazyatul Mohd Eshak; Pengurus Pembangunan Perniagaan MDEC, Muhamad Ridzuan Mohamad Kasmani dan Pengarah Pusat Keushawanan USM, Prof. Madya Dr. Zulnaidi Yaacob.

Mengulas lanjut, Abdul Halim turut menyambut baik langkah Kerajaan Persekutuan menyediakan RM450 juta dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan baru-baru ini bagi melaksanakan rangsangan digital dalam meningkatkan kepenggunaan rakyat Malaysia, peniaga dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menggunakan e-dompet.

“Peruntukan ini tidak termasuk dana RM200 juta khusus untuk usahawan wanita, dengan tawaran pembiayaan sehingga RM1 juta bagi setiap PKS.

“Selain itu, peruntukan dana sebanyak RM300 juta turut diumumkan untuk menyokong PKS berpotensi menjadi jaguh serantau, dengan keutamaan diberikan kepada pengeluar produk halal serta pengeluar produk dengan kandungan tempatan yang tinggi,” tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati 200 usahawan yang menyertai seminar tersebut agar sentiasa dahagakan kejayaan supaya mereka akan terus berusaha keras melalui platform usahawan digital.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI