GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri sedia membantu pemilik premis yang terjejas dalam kejadian kebakaran berhampiran Chew Jetty awal pagi tadi, termasuk dalam proses pembangunan semula premis berkenaan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika turun ke lokasi bersama-sama Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim, anggota penyelamat serta pemilik premis bagi meninjau keadaan selepas kebakaran.
Menurut beliau, kebakaran yang berlaku kira-kira jam 1 pagi itu melibatkan enam premis, termasuk bengkel dan premis pertukangan kayu.
Walau bagaimanapun, Kon Yeow menegaskan bahawa Chew Jetty tidak terjejas dan tidak terlibat dalam kejadian kebakaran berkenaan, dengan tapak kebakaran terletak kira-kira 20 meter dari perkampungan air warisan tersebut.
“Syukur kerana tiada kehilangan nyawa dalam kejadian ini.
“Api juga telah berjaya dikawal, dan kini kerja-kerja mengalihkan sisa kebakaran sedang dijalankan bagi membolehkan operasi pemadaman serta kerja-kerja susulan diteruskan,” ujarnya di sini sebentar tadi.
Tambah Kon Yeow, pihaknya memahami hasrat pemilik premis untuk membangunkan semula premis masing-masing selepas kejadian, dan Kerajaan Negeri bersedia membantu sepanjang proses tersebut.
“Pemilik premis ini sama ada penyewa atau pemegang Lesen Menduduki Sementara (TOL) di atas tanah kerajaan.
“Saya pasti mereka mahu membangunkan semula premis dan Kerajaan Negeri akan membantu sepanjang proses ini,” jelasnya.
Difahamkan, dalam kejadian berkenaan, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada awal pagi tadi.
Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan sekitar, manakala kerja-kerja pemadaman dan pembersihan sisa kebakaran diteruskan bagi memastikan kawasan berkenaan selamat.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : TAN KEAN MING