Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dengan AADK tangani masalah penagihan dadah

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia memberi kerjasama kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam menangani masalah penagihan dadah di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pihaknya sedia untuk melihat peluang dan berbincang mengenai bentuk kerjasama yang dapat dijalin bersama-sama agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri itu.

Kita (Kerajaan Negeri) akan berbincang dan melihat peluang untuk bekerjasama dengan pihak AADK dalam menangani permasalahan penagihan dadah di negeri ini,” ujarnya pada pertemuan bersama-sama delegasi AADK Negeri Pulau Pinang di pejabatnya di Komtar, petang ini.

Terdahulu, Kon Yeow menerima kunjungan daripada Pengarah AADK Negeri Pulau Pinang, Elmariah Chung yang hadir bersama-sama Penolong Pengarah (Rawatan) AADK Negeri, Ahmad Nazir Long; Penolong Pengarah (Pencegahan) AADK Negeri, Mohd. Nazri Hashim serta dua orang pegawai.

Dalam pertemuan yang berlangsung selama 90 minit itu, selain membincangkan cara mempergiatkan kempen banteras dadah habis-habisan, turut dibincangkan adalah senario penagihan dadah, lokasi-lokasi panas yang berisiko, data penagihan dan jumlah Orang Kena Pengawasan (OKP) serta kategori penagihan di negeri ini.

KETUA Menteri mendengar penjelasan Mohd. Nazri Hashim (kanan sekali) pada kunjungan di Komtar, tadi. Turut sama, Elmariah Chung (kiri sekali) dan Ahmad Nazir Long (dua dari kanan).

Menurut Elmariah, pihaknya kini dalam usaha untuk ‘menghijaukan’ lokasi-lokasi ‘merah’ di kawasan Seberang Perai dan mengharapkan ia dapat dilaksanakan secara bersepadu dengan agensi-agensi dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang relevan.

“Pihak AADK telah mengenal pasti lokasi yang berisiko tinggi dan akan bertindak berdasarkan kategori lokasi seperti ‘merah’ (lokasi panas penagihan), ‘kuning’ dan ‘hijau’ (bebas aktiviti penagihan).

“(Dan) ia menjadi satu cabaran buat AADK memandangkan trend terkini, dadah jenis sintetik mudah didapati di pasaran berbanding dadah tradisional,” katanya.

Mengulas mengenai transformasi perkhidmatan AADK, Elmariah berkata, pihaknya kini turut mempergiatkan konsep pemulihan secara sukarela dengan mendekati kelompok komuniti setempat.

“Melalui konsep ini, pihak AADK dapat menyebar luas maklumat bukan sahaja mengenai peranan, bantuan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak kami tetapi juga usaha yang boleh dilakukan bagi memulihkan seseorang individu yang ketagihan dadah,” jelasnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN