Kon Yeow penjelas pendirian Kerajaan Negeri, tiada manipulasi bantahan nelayan terhadap PSR

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri tidak pernah memanipulasi pendirian Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang yang membantah projek tambakan laut di selatan perairan pulau (PSR), sebagaimana didakwa oleh pihak tertentu daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan.

Menjawab soalan pemberita, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya turut menghormati bantahan yang diluahkan oleh persatuan nelayan berkenaan.

“Persatuan (nelayan) walaupun membantah projek (PSR) ini, mereka juga siapkan tuntutan sekiranya projek ini berlangsung, itu, apa maknanya.

“Maksudnya, mereka pun memahami sekiranya ada kelulusan, projek (PSR) akan berjalan, maka timbul lah isu pembayaran saguhati (pampasan) sekiranya mereka layak mendapat saguhati ini.

“Kita (Kerajaan Negeri) tak pernah kata (dia) datang cuma membincangkan isu bayaran saguhati, itu pun saya telah tegaskan bahawa perbincangan hanya boleh bermula selepas kelulusan diperoleh.

“Amat jelas sekali mereka (persatuan nelayan) tidak dapat menyokong projek (PSR) ini, dan kita memahami mereka tidak boleh sokong dan kita menghormati pendirian mereka,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi selepas merasmikan Persidangan Pembinaan Antarabangsa Pulau Pinang 2019 di Komtar pada 18 Julai 2019.

Turut serta, hampir semua Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan Pengarah Projek SRS Concortium, Szeto Wai Loong.

Tambah Kon Yeow, dalam pertemuan dengan persatuan nelayan berkenaan pada 31 Mei lepas, Kon Yeow hanya menjelaskan tiga perkara penting, iaitu:-

* Hormati bantahan Persatuan Nelayan pada projek PSR.
* Selagi tak dapat kelulusan, PSR tidak akan dilaksanakan.
* Sekiranya PSR lulus, barulah proses rundingan ‘saguhati’ dimulakan.

Beliau dalam pada itu turut menjelaskan bahawa taklimat khas projek PSR yang akan diadakan oleh Kerajaan Negeri kelak khususnya untuk Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja, tanpa penyertaan wakil daripada persatuan nelayan.

Bercakap pada sidang media sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin turut memberi respons pada gesaan aktivis alam sekitar, Khoo Salma Nasution, supaya beliau mendedahkan 4,733 sesi temu tembung diadakan bersama-sama penduduk setempat khususnya nelayan berkenaan rancangan projek tambak laut sejak 2016.

Jurucakap Jawatankuasa Penang Tolak Tambak berkenaan dilaporkan berkata, angka yang diciapkan oleh Afif menerusi media sosial Twitter baru-baru ini adalah mustahil dan tidak mungkin berdasarkan matematik dan logik mudah.

“Saya pun bukan lah tak pandai sangat matematik, bukan lah saya tak tahu langsung membaca laporan (statistik).

“Kepada Khoo Salma, sekali lagi ingin saya perjelaskan, kita (Kerajaan Negeri) berkerja secara profesional, kita nak bincang untuk buat apa yang terbaik untuk negeri.

“Kalau kamu nak memainkan sentimen, terpulang, tapi bagi saya projek ini penting untuk pembangunan masa depan Pulau Pinang,” jelasnya yang juga ADUN Seberang Jaya.

Afif turut menyatakan bahawa pihaknya akan mengadakan sesi pertemuan susulan dengan para nelayan terbabit pada bulan September ini, sujurus pulang daripada mengerjakan haji di Makkah.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : CHAN KOK KUAN