Kerajaan Negeri sedia beri komitmen untuk lahirkan jaguh badminton Pulau Pinang

Admin

PAYA TERUBONG – Kerajaan Negeri akan terus memberikan komitmen dalam memartabatkan sukan badminton di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, ujar Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan bagi Belia dan Sukan, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq.

 

Menurut beliau, Kerajaan Negeri akan berusaha sedaya upaya memberikan komitmen melahirkan jaguh-jaguh sukan badminton di masa akan datang.

 

 

“Baru-baru ini kita dikhabarkan dengan berita sedih apabila wira badminton kita, Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraan beliau dari arena badminton.

 

 

 

“Namun saya percaya, dengan usaha gigih para pemain dan Kerajaan Negeri kita akan mampu lahirkan jaguh sehebat Chong Wei,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam ketika berucap pada perasmian Karnival Olimpik Pulau Pinang bagi Sukan Badminton baru-baru ini dekat Kompleks Sukan Bandaraya Relau.

 

 

 

 

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) Frederick Tan Teck An dan Presiden Persatuan Badminton Pulau Pinang, Kau Kah Kiak.

 

 

 

Selain badminton, Karnival Olimpik Pulau Pinang yang julung kalinya diadakan itu mempertandingkan acara seperti bola tampar, sepak takraw dan tenpin boling untuk golongan bukan profesional.

 

 Difahamkan di antara keempat-empat acara yang dipertandingkan itu badminton menerima penyertaan terbanyak iaitu seramai 789 orang peserta.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI