Kerajaan Negeri sedia buat keputusan kurang popular demi keselamatan rakyat

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sedia mengambil apa juga keputusan yang dirasakan tepat dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 walaupun ia akan menyekat ‘kebebasan’ rakyat.

Beliau berkata, sebarang keputusan yang dibuat tanpa pertimbangan sewajarnya hanya akan memberi kesan buruk kepada rakyat termasuk sektor ekonomi dan kesihatan awam di negeri ini.

“Dalam usaha kita memerangi pendemik COVID-19, kita perlu melakukan keputusan yang tepat walaupun kadang-kala keputusan itu kurang popular.

Derma darah antara program yang dianjurkan sempena Kempen Kesedaran Vaksin anjuran MPKK-MPKK Padang Kota.

“Ini kerana kita tidak boleh menghadapi satu lagi keadaan yang mana kes bertambah dengan banyak sekali gus akan menjejaskan sektor perubatan awam untuk merawat serta mengesan individu dijangkiti COVID-19 sebagaimana yang berlaku tahun lalu.

“Apa yang berlaku di India ketika ini contohnya, iaitu berlaku peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 sehingga mencecah satu hingga dua juta sehari, adalah satu pengajaran penting untuk kita semua.

“Oleh itu, sebagai rakyat, kita perlu mengharapkan keputusan bijak dibuat untuk mengelakkan kesan buruk kepada ekonomi dan sektor kesihatan awam yang seterusnya akan menjejaskan kehidupan semua pihak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kesedaran Vaksin COVID-19 dekat perkarangan New World Park di sini sebentar tadi.

Difahamkan, kempen tersebut adalah anjuran gabungan Majlis Pemgurusan Komuniti Kampung (MPKK) di bawah Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan juga beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kaunter-kaunter maklumat berkaitan vaksin dan COVID-19 turut dibuka.

Pelbagai program turut dijalankan sempena kempen tersebut termasuk pendaftaran penerima vaksin, derma darah, taklimat kesedaran berkaitan pandemik COVID-19 serta sebagainya.

Turut hadir, pengerusi badan penganjur, Sally Tan serta pembantunya, Koay Ee Teng; wakil New World Park, Fook Saik Jiang dan Vincent Kong; wakil-wakil MPKK serta ramai lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa kadar pendaftaran vaksin di Pulau Pinang masih lagi perlahan iaitu peningkatan kurang daripada satu peratus setiap hari.

Orang ramai mengambil peluang mendaftar sebagai penerima vaksin.

Justeru, beliau menyeru kepada setiap wakil rakyat supaya memainkan peranan sewajarnya dengan mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan lagi jumlah pendaftaran vaksin COVID-19 di negeri ini.

“Diharapkan dengan berjalannya Fasa 2 (Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan), ia akan dapat meningkatkan lagi kepercayaan serta keyakinan rakyat terhadap vaksin ini,” ulasnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menegaskan bahawa perjalanan Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di negeri ini dilihat gagal mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu seramai 7,500 orang divaksin setiap hari.

“Fasa 2 dilihat sudah terpesong daripada rancangan awal yang mana kita sepatutnya ada 10 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pulau Pinang tetapi apa yang kita lihat cuma lima sahaja dibuka.

“Malah, mengikut taklimat awal, kita sasarkan seramai 7,500 individu divaksin setiap hari tetapi kini kita baru mencapai hanya 2,000 orang sahaja.

“Saya tidak tahu apa alasannya, mungkin juga disebabkan masalah kurang bekalan vaksin, namun kita harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya agar program ini dapat berjalan dengan lancar,” tegasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD
Video : CHAN KOK KUAN