GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut baik pengumuman pembangunan Pusat Kepakaran Penjagaan Bersepadu (NICE) di Pulau Pinang serta Sarawak, dan peruntukan melebihi RM40 juta bagi melatih 8,000 tenaga kerja dalam sektor penjagaan menerusi Belanjawan 2027 Persekutuan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, inisiatif berkenaan merupakan langkah positif dalam memperkukuh ekosistem penjagaan warga emas, khususnya ketika Malaysia dan Pulau Pinang semakin menghampiri fasa masyarakat menua.
Menurut beliau, isu penuaan penduduk bukan perkara baharu dibincangkan, malah Pulau Pinang berkemungkinan diisytihar sebagai negeri warga tua dalam beberapa tahun akan datang susulan peningkatan populasi warga emas.
“Saya rasa masyarakat menua semakin menjadi kenyataan di Malaysia dan negeri Pulau Pinang.
“Isu ini sudah kita bincangkan sejak beberapa tahun lalu, dan Pulau Pinang boleh diisytihar sebagai negeri warga tua dalam beberapa tahun lagi.
“Justeru, apabila jumlah warga emas semakin meningkat, kita perlu bersedia menghadapi perubahan demografi ini dengan melibatkan semua pihak, termasuk kerajaan, sektor swasta dan komuniti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Belanjawan 2027 Persekutuan mengenai pembangunan NICE di Pulau Pinang bagi memperkukuh latihan, penyelidikan dan perkhidmatan penjagaan warga emas.
Turut hadir, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai dan Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang, Ar. Zalena Abdul Aziz.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa persediaan menghadapi masyarakat menua memerlukan pendekatan menyeluruh, termasuk penggubalan dasar bersesuaian, penyediaan infrastruktur dan kemudahan penjagaan warga emas, program kesedaran serta pengukuhan aspek kebajikan golongan berkenaan.
Tambah beliau, keperluan warga emas berbeza daripada golongan masyarakat lain dan memerlukan dasar serta program yang dirangka secara khusus bagi memastikan kepentingan, kebajikan dan kesejahteraan mereka terus terpelihara.
“Keperluan warga emas adalah berbeza, dan kita perlu mempunyai dasar serta program yang menyasarkan golongan ini supaya proses penuaan dapat diuruskan dengan mengambil kira kepentingan mereka,” jelasnya.
Mengulas mengenai lokasi pembangunan NICE di Pulau Pinang, Kon Yeow memberitahu bahawa ia belum memperoleh maklumat terperinci berhubung lokasi yang diumumkan dan akan meminta Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (PBEN) mendapatkan penjelasan lanjut daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri serta kementerian berkaitan.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif itu dan bersedia memberikan kerjasama bagi memastikan pembangunan pusat berkenaan dapat direalisasikan di Pulau Pinang.
“Kita sememangnya menyambut baik pengumuman ini, dan Kerajaan Negeri akan memberikan kerjasama bagi memastikan kemudahan berkenaan dapat ditubuhkan di Pulau Pinang seperti yang diumumkan,” ulasnya lanjut.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT