GEORGE TOWN – Sebanyak tujuh warisan kebudayaan tidak ketara dan enam tapak bersejarah secara rasmi diisytihar sebagai Warisan Negeri Pulau Pinang dalam usaha berterusan Kerajaan Negeri memelihara khazanah sejarah, budaya serta identiti masyarakat untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Tujuh warisan kebudayaan tidak ketara yang diisytiharkan ialah Perayaan Teong Guan Phor Thor, Boria, Ghazal Parti, Bangsawan Pulau Pinang, Silat Pelaga: Siku 12, Dondang Sayang Pulau Pinang dan Dialek Hokkien Pulau Pinang.
Sementara itu, enam tapak warisan yang diisytiharkan pula merangkumi Tokong Loo Pun Hong; Stesen Atas, Stesen Bawah dan Landasan Funikular Bukit Bendera Pulau Pinang; Makam Dato Koyah; Tokong Thai Pak Koong (Ng Suk) di Lebuh King; Bangunan Persatuan Fooi Chew serta Tanah Perkuburan Kwangtung dan Tengchow No. 1.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pengiktirafan di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 [Enakmen 14] itu bukan sekadar pengisytiharan rasmi, sebaliknya mencerminkan penghargaan terhadap sejarah dan jati diri masyarakat yang membentuk keunikan negeri ini.
Menurut beliau, pengiktirafan berkenaan merupakan kesinambungan majlis yang berlangsung di Kampung Mengkuang Titi, Seberang Perai Tengah pada 9 Mei lalu, yang menyaksikan 35 item warisan kebudayaan tidak ketara diisytihar sebagai Warisan Negeri, manakala 15 tapak ditetapkan sebagai Tapak Warisan.
“Pulau Pinang sememangnya sebuah ‘muzium hidup’ yang unik.
“Daripada seni bina, kampung tradisional, tapak keagamaan dan landskap budaya, hinggalah kepada bahasa, makanan, seni persembahan dan adat resam, semuanya membentuk wajah serta identiti negeri ini.
“Sebab itu, kita melihat warisan bukan sekadar tinggalan masa lalu, tetapi juga sebagai aset untuk masa depan yang mampu menyumbang kepada pelancongan, ekonomi kreatif, peluang pekerjaan dan kesejahteraan komuniti,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Pengisytiharan Warisan Negeri dan Penetapan Tapak Warisan Kali Ke-2 Tahun 2026 di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai; Ketua Pengarah/Pesuruhjaya Warisan Negara, Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin; Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Wan Nor Sakina Saad; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Zairi Mat Ali serta Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang, Ar. Zalena Abdul Aziz.
Menurut Kon Yeow, pendekatan tersebut adalah selari dengan aspirasi Visi Penang2030 yang mahu memastikan Pulau Pinang terus maju dan berdaya saing tanpa kehilangan identiti serta keunikan yang menjadi kebanggaan rakyatnya.
Tambah beliau, pengiktirafan itu turut menegaskan bahawa usaha pemeliharaan warisan tidak boleh terhad kepada bangunan dan tapak bersejarah semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi seni persembahan, bahasa, persuratan, adat dan amalan masyarakat.
“Khazanah seperti Silat Siku 12 dan Dondang Sayang perlu terus dihidupkan agar tidak sekadar dikenang sebagai peninggalan masa lalu, tetapi kekal menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat serta dapat diwarisi generasi muda,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow menyatakan bahawa warisan juga perlu diberikan nilai tambah menerusi penganjuran festival, aktiviti heritage walk, gastronomi, pendigitalan dan ekonomi kreatif bagi memperluas manfaatnya kepada komuniti setempat.
“Ini bukan sahaja memperkaya pengalaman pelancong, malah membuka peluang kepada anak muda, penggiat seni dan usahawan tempatan,” katanya.
Mengulas potensi sektor pelancongan, Kon Yeow menyatakan bahawa Pulau Pinang terus menunjukkan momentum positif apabila merekodkan 967,742 tetamu hotel antarabangsa bagi suku pertama 2026.
“Bagi tempoh Januari hingga Julai 2026 pula, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang merekodkan 2.65 juta pergerakan penumpang antarabangsa, meningkat 11.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Sektor pelancongan kesihatan turut mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan 285,400 pelancong perubatan bagi separuh pertama 2026, dengan hasil sebanyak RM601.8 juta,” ulasnya lanjut.
Menurut beliau, pencapaian itu memperlihatkan kekuatan Pulau Pinang sebagai destinasi antarabangsa yang menggabungkan perkhidmatan perubatan, warisan, budaya, gastronomi dan pengalaman komuniti.
“Selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visi Penang2030, kita mahu pelancong bukan sekadar datang melihat Pulau Pinang, tetapi mengenali, menghayati dan menghargai identiti negeri ini,” katanya.
Kon Yeow turut menegaskan bahawa usaha pemeliharaan warisan perlu diperluas ke seluruh negeri, termasuk Seberang Perai yang mempunyai sejarah dan khazanah tersendiri untuk diketengahkan demi manfaat bersama.
Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus komited memelihara dan memartabatkan warisan Pulau Pinang, sambil menyeru sokongan berterusan masyarakat bagi memastikan khazanah berkenaan kekal terpelihara.
“Kerana warisan bukan sekadar sejarah yang kita tinggalkan, tetapi identiti yang kita hidupkan dan amanah yang kita wariskan,” ujarnya.
Sementara itu, Hon Wai memberitahu bahawa pengisytiharan tersebut menjadikan keseluruhan warisan negeri Pulau Pinang kini berjumlah 63 item.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 14 item merupakan warisan kebudayaan tidak ketara; item dikategorikan sebagai makam warisan (28) manakala tapak warisan
(21).
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa usaha mengenal pasti dan mengangkat khazanah warisan negeri akan diteruskan menerusi gerak kerja Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang bagi mengenal pasti lebih banyak warisan kebudayaan dan warisan semula jadi yang berpotensi untuk diisytiharkan pada masa hadapan.
Sehubungan itu, Hon Wai menyeru masyarakat supaya turut memainkan peranan dengan mengemukakan pencalonan serta menyalurkan maklumat berkaitan warisan yang berpotensi untuk dinilai berdasarkan kriteria ditetapkan dalam enakmen berkenaan.
“Usaha mengangkat, memelihara dan memulihara warisan bukan tanggungjawab Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri semata-mata.
“Sebaliknya, ia (usaha ini) memerlukan komitmen bersama semua pihak, termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penggiat industri dan masyarakat awam.
“Warisan kita adalah identiti kita,” jelasnya.






Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT