Kerajaan Negeri sentiasa menjaga kepentingan semua rakyat – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Masyarakat India Muslim menjadi komuniti penting yang turut memainkan peranan dalam pembangunan di negeri Pulau Pinang.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, rakyat Pulau Pinang yang majmuk termasuk masyarakat India Muslim di Pulau Pinang juga menyumbang ke arah pembangunan ekonomi dan sosial di negeri ini.

 

Kerajaan Negeri dalam tempoh pentadbiran 15 tahun ini sentiasa menjaga kepentingan semua rakyat di negeri ini sama ada dalam bidang ekonomi, sosial, pendidikan mahupun keagamaan.

 

“Malah, peranan yang dimainkan oleh sektor-sektor perniagaan serta ekonomi menjadi amat penting untuk Pulau Pinang.

 

“(Dan) masyarakat India Muslim juga tidak ketinggalan berkecimpung dalam sektor-sektor ini serta mempunyai pengaruh yang besar dalam perkembangan ekonomi di negeri ini.

 

“Saya berharap masyarakat India Muslim di negeri ini terus memainkan peranan yang penting berkaitan supaya Pulau Pinang semakin maju dan seterusnya dapat membuka peluang perniagaan serta pekerjaan untuk rakyat di negeri ini,” ujarnya pada majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Saudagar-Saudagar Permata Dan Penukar Wang Muslim Pulau Pinang (MJMC) di sini hari ini.

 

ANTARA wakil-wakil persatuan gabungan yang hadir.

 

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Presiden Persatuan Liga Muslim, Datuk Haja Najmudeen Kader; Timbalan Persatuan Liga Muslim, Dato’ Dr. Shahul Hameed Syed Mohamed yang juga Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); presiden-presiden dan wakil-wakil persatuan gabungan serta wakil-wakil daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

 

Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan sikap keterbukaan dengan sentiasa memastikan hubungan baik antara pihak berkepentingan dan rakyat.

 

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong dan ADUN Padang Kota menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak MJMC kerana sudi meminda tarikh majlis berbuka puasa tersebut.

 

Saya menghargai peluang ini dan gembira dapat hadir bersama-sama untuk meraikan semua dalam majlis berbuka puasa ini.

 

“Saya yakin, melalui majlis-majlis sebegini akan membolehkan wakil rakyat bersama-sama mendampingi masyarakat setempat,” jelasnya.

 

SEBAHAGIAN jawatankuasa pengelola dan penganjuran majlis iftar tidak melepaskan peluang bergambar bersama-sama Ketua Menteri.

 

Sementara itu, Presiden MJMC, Datuk Dr. Anvar Hussain menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis iftar tahun ini termasuk kepada Ketua Menteri yang sudi meluangkan masa berbuka puasa walaupun dalam kepadatan jadual kerja seharian.

 

YAB merupakan ADUN Padang Kota dan juga Ahli Parlimen Tanjong yang bukan sahaja membantu persatuan tetapi juga masyarakat di sini.

 

“(Dan) bagi pihak persatuan, saya memohon perhatian YAB untuk meluluskan sedikit dana bagi membaik pulih bangunan di sini,” katanya yang menyambut baik usaha-usaha pimpinan Kerajaan Negeri selama ini.

 

Usai majlis, Kon Yeow memaklumkan bahawa beliau akan mempertimbangkan permintaan Anvar yang memohon suntikan dana bagi membaik pulih bangunan milik MJMC yang terletak di Lorong Soo Hong dekat sini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS