Kerajaan Negeri serius galak tubuh koperasi tingkat sosio-ekonomi komuniti

MANSOR Othman menyampaikan cenderahati kepada Sheikh Ismail pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Kecemerlangan Prestasi Kerja Koperasi di Hotel Flamingo, Tanjung Bungah di sini baru-baru ini.
MANSOR Othman menyampaikan cenderahati kepada Sheikh Ismail pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Kecemerlangan Prestasi Kerja Koperasi di Hotel Flamingo, Tanjung Bungah di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri amat menggalakkan penubuhan koperasi bagi merancak dan meningkatkan sosio-ekonomi di sesuatu komuniti berkenaan.

Selain memperkenalkan produk tempatan, ia juga dapat membudayakan rakyat negeri ini untuk memperkasakan koperasi masing-masing sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa panjang.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman berkata, kewujudan koperasi seharusnya menjadi nadi pembangunan ekonomi sesuatu penempatan berdasarkan kapasiti penduduk.

“Kerajaan Negeri amat serius untuk mewujudkan koperasi di sesuatu penempatan berpotensi menjana pulangan yang akhirnya memberi kebaikan kepada penggeraknya.

“Dalam masa sama, secara berperingkat, badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan belia, kariah dan keluarga juga digalakkan menubuhkan koperasi masing-masing,” katanya dalam ucapan Perasmian Penutupan Kursus Kecemerlangan Prestasi Kerja Koperasi di Hotel Flamingo, Tanjung Bungah di sini baru-baru ini.

Kursus anjuran Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Koperasi Pulau Pinang dengan kerjasama Angkatan Koperasi  Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Pulau Pinang adalah julung kali dianjurkan di seluruh negara.

Antara modul baru diperkenalkan dalam kursus tersebut ialah Berfikir Secara Positif , Motivasi Pengurusan dan
Kakitangan, Kecemerlangan Pengurusan-Kepemimpinan Melalui Tauladan dan Kecemerlangan Kakitangan.

Turut hadir, Pengerusi Perhubungan Angkasa Pulau Pinang, Sheikh Ismail Md. Allapitchay dan Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Pulau Pinang, Hafidzah Hassan.