Pembinaan jalan-jalan utama & terowong bawah tanah atasi kesesakan bermula 2015

Oleh: ZULIANA AZIZ

KETUA Menteri di samping Lim Hock Seng (kanan) ketika ditemui di sidang media berhubung p e n g u m u m a n pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut bawah tanah Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri di samping Lim Hock Seng (kanan) ketika ditemui di sidang media berhubung
pengumuman pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut bawah tanah Pulau Pinang di sini
baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Sebanyak 11 buah syarikat kontraktor telah mengemukakan surat kepada Jawatankuasa  Pembuka Peti Tender bagi proses pra-kelayakan pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut bawah tanah Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Daripada 11 syarikat tersebut, tujuh daripadanya adalah daripada syarikat tempatan, China (2), Korea (1) dan China-Korea (1). Namun, jumlah syarikat yang menghadiri taklimat pra-kelayakan bagi pembinaan jalan-jalan utama tersebut pada 29 November tahun lalu ialah 48 buah.

Pembinaan jalan-jalan utama dan terowong bawah tanah tersebut bakal melibatkan pintasan Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu (4.2 km), pintasan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Bandar Baru Air Itam (4.6 km), Pulau Pinang ke Butterworth (6.5 km) dan cadangan jalan berkembar Jalan Tanjung Bungah ke
Teluk Bahang (12km).

Sebelum ini, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng telah mengumumkan mengenai cadangan pembinaan jalan-jalan utama dan terowong bawah tanah yang menghubungkan Pulau Pinang dengan Butterworth bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya di negeri ini.

Katanya, projek pembinaan tersebut bakal dibiayai sendiri oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan pertukaran tanah kepada pemaju bernilai hampir RM8 bilion.

“Projek terowong bawah tanah ini adalah projek Kerajaan Negeri sepenuhnya, bukan Kerajaan Persekutuan. Tidak pernah dijalankan di mana-mana negeri di Malaysia projek seumpama ini,” kata Ketua Menteri ketika ditemui di sidang medianya yang diadakan di Komtar, di sini baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, jalan-jalan utama yang terlibat bagi projek tersebut membabitkan jalan-jalan utama sedia ada adalah sangat minima. Malah, Kerajaan Negeri turut meminimakan penduduk setempat yang terpaksa berpindah kesan daripada projek yang bakal dijalankan pada 2015 tersebut.

Hadir sama di sidang media tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut, Keretapi), Lim Hock Seng.