Kerajaan Negeri sokong cadangan penutupan berfasa lokasi riadahh Empangan Mengkuang

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan bersama dan menyokong cadangan penduduk sekitar yang mencadangkan bahawa kerja-kerja pembesaran Empangan Mengkuang di Bukit Mertajam perlu dijalankan secara berperingkat bagi membolehkan mereka meneruskan aktiviti riadah yang telah menjadi rutin kehidupan seharian sejak 26 tahun lalu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri setuju dengan pandangan para penduduk untuk mengekalkan Empangan Mengkuang sebagai tapak riadah walaupun kerja-kerja pembinaan dijalankan.

“Sebagaimana maklum, projek pembesaran empangan bernilai RM1.2 bilion itu adalah di bawah Kerajaan Persekutuan. Justeru, Kerajaan Negeri tiada kuasa untuk campur tangan. Bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menutup
lokasi riadah tersebut secara berperingkat.

“Lanjutan itu, Kerajaan Negeri telah meminta Perbadanan Bekalan Air (PBA) untuk menyediakan surat kepada Kerajaan Persekutuan berhubung perkara terbabit dan ia terpulang kepada mereka (Kerajaan Persekutuan) sama ada untuk setuju ataupun tidak,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Guan Eng, terdapat tuduhan liar yang menyatakan bahawa perkara ini adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Sebagaimana maklum, projek tersebut adalah di bawah Kerajaan Persekutuan dan mereka (Kerajaan Persekutuan) ada kuasa untuk melantik kontraktor tanpa tender terbuka.

“Mereka pura-pura tidak tahu. Tindakan menyalahkan Kerajaan Negeri adalah satu tindakan yang tidak bermoral, tidak patut dan tidak beretika. Kita tidak minat si luncai dan labunya, yang penting adalah kita (Kerajaan Negeri) akan bersama dan sokong cadangan dikemukakan penduduk sekitar,’’ jelas beliau.

Sementara itu, Pengurus Besar PBA, Ir. Jaseni Maidinsa berkata, perkara tersebut akan dibincangkan di dalam mesyuarat membabitkan pihak Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, kontraktor dilantik oleh Kerajaan Persekutuan dari China dan bebeberapa pihak dari Kerajaan Negeri pada esok (29 Julai 2011) di sini.

“Projek tersebut adalah bagi meninggikan benteng empangan sedia ada sebanyak 11 meter dan pada masa sama membina sebuah empangan baru di sebelah sebelum mencantumkan keduaduanya,’’ ujar beliau sambil menjelaskan bahawa lokasi riadah adalah terletak di tengah-tengah lokasi projek berkenaan.

Jaseni memberitahu, projek yang bakal disiapkan dalam tempoh lima tahun itu boleh menampung keperluan air penduduk Pulau Pinang sehingga tahun 2020.