Kursus Kepimpinan JKKK memperkasakan akar umbi

 

SEBAHAGIAN peserta yang menghadiri Kursus Kepimpinan JKKK anjuran Kerajaan Negeri.
SEBAHAGIAN peserta yang menghadiri Kursus Kepimpinan JKKK anjuran Kerajaan Negeri.

 

 

SEBERANG JAYA – Berkonsep motivasi serta memantapkan pengurusan dan pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK), Kursus Kepimpinan JKKK diadakan bagi memupuk nilai kepimpinan dalam kalangan pengerusi JKKK terutama ke arah menggembleng sumber sebagai mata dan telinga Kerajaan Negeri (KN).

Objektif program adalah bagi membangkitkan kesedaran mengenai peranan dan tanggungjawab sebagai seorang JKKK, membentuk disiplin dan hemah diri dalam kalangan masyarakat, berpengetahuan dalam pengurusan dan pentadbiran organisasi dan juga memberi pendedahan mengenai selok belok komunikasi massa.

Kursus yang bertema ‘Perkasakan Akar Umbi’ ini diadakan di Bayview Beach Resort dan Hotel Pearl View masing-masing dihadiri oleh 130 dan 170 peserta yang merupakan Pengerusi, Setiausaha atau wakil setiap JKKK di seluruh Pulau Pinang.

Pelbagai aktiviti dijalankan bagi menghangatkan suasana seperti motivasi pembentukan pimpinan diri, penerangan atau taklimat lengkap pengurusan JKKK dan bengkel penyediaan kertas kerja program.

Antara yang hadir bagi memberikan taklimat adalah Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, Pengarah Pilihanraya PKR Pusat, Yusof Ismail, Pegawai Penerangan Bahagian Penerangan Pejabat Ketua Menteri, Haji Anuar Hashim dan Pegawai Penyelaras KADUN Teluk Bahang selaku penyelaras program, Mohamad Shawal Ahmed.