Kerajaan Negeri suntik dana RM450,000 bantu koperasi hadapi pandemik

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri bersetuju menyuntik dana berupa geran tunai RM450,000 bagi memastikan institusi koperasi terus kukuh dan berdaya saing dalam mendepani pasca pandemik.

 

 

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, melalui perbincangan bersama-sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar baru-baru ini, memberitahu bahawa hanya Pulau Pinang yang menyediakan geran khas kepada pihak koperasi.

 

 

“Ini merupakan cara Kerajaan Negeri Pulau Pinang membantu koperasi-koperasi di negeri ini yang terkesan akibat pendemik yang mana kita telah melancarkan Penang2030 Coop Grant pada Februari 2021 untuk membantu koperator-koperator yang terjejas dalam perniagaaan untuk meneruskan aktiviti perniagaan mereka.

 

 

“Alhamdulillah, dana ini telah memberi manfaat kepada 40 buah koperasi asas dengan jumlah peruntukan sebanyak RM450,000.

 

 

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga menyarankan agar para koperator untuk terlibat dalam bidang digital atau lebih dikenali dengan Gig Ekonomi,” ujar Ahmad Zakiyuddin pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Pulau Pinang 2021 dekat Hotel The Light semalam.

 

 

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pulau Pinang, Norlelah Samsuddin dan mantan Pengarah SKM Pulau Pinang, Zakaria Md. Jusoh.

 

 

Tambah Ahmad Zakiyuddin, agenda pemerkasaan koperasi juga adalah sebahagian daripada pelan induk Kerajaan Negeri melalui visi Penang2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan keluarga dalam negeri yang hijau dan pintar.

 

 

“Dalam usaha mempercepat pencapaian Penang2030, Kerajaan Negeri akan memberi penekanan terhadap tiga fokus utama iaitu inisiatif setempat, inisiatif pembangunan komuniti dan inisiaitf libat urus industri.

 

 

“Di samping pelan induk Penang2030, Pelan Khaira Ummah 2030 pula mempunyai misi untuk memperkasakan umat Islam Pulau Pinang menerusi pelbagai program pembangunan.

 

 

“Antara bidang-bidang terpenting adalah meningkatkan sektor ekonomi umat Islam melalui koperasi dengan kerjasama agensi wakaf dan zakat,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti.

 

Terdahulu, Norlelah ketika berucap menyatakan bahawa sehingga Disember 2020, koperasi yang berdaftar di Pulau Pinang adalah sebanyak 754 buah dengan keanggotaan seramai 155,510 orang.

 

 

“Jumlah nilai syer dan yuran sebanyak RM279.8 juta, aset bernilai RM855.08 juta dan jumlah perolehan sebanyak RM261.86 juta,” katanya.

 

 

Pada majlis sama SKM Pulau Pinang turut menyampaikan geran berserta sijil kepada koperasi-koperasi yang layak dan diluluskan permohonan.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD