Kerja keras ‘wira’ MBPP dihargai

AIR ITAM – Seramai 120 kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dari Jabatan Perkhidmatan Perbandaran (JPP) dan anggota penguatkuasaan dirai dalam Majlis Kesyukuran dan Penghargaan peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam, di sini semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkata, majlis yang diadakan setiap tahun sejak 2013 itu adalah sebagai menghargai kerja keras kakitangan MBPP dalam menjaga kebersihan persekitaran dan keselamatan rakyat di negeri ini terutamanya di KADUN Air Itam dan Air Putih.

Kambing golek antara juadah yang disediakan.

“Pandemik COVID-19 yang melanda negara termasuk Pulau Pinang sejak tahun lepas telah memberikan cabaran bukan sahaja kepada peniaga tetapi juga kepada ‘wira-wira’ MBPP yang selalu turun padang untuk menjaga kebersihan dan keselamatan.

“Oleh itu, kita adakan majlis ini untuk menghargai jasa kakitangan MBPP yang sentiasa bertungkus-lumus demi keselesaan dan keselamatan penduduk di Air Itam dan Air Putih.

“Malah, peranan penting yang dimainkan oleh wira-wira MBPP turut diiktiraf penduduk setempat sehingga ada yang mahu menyumbang untuk menjayakan majlis ini,” katanya semasa berucap pada majlis berkaitan.

Turut hadir, Ahli-ahli Majlis bagi MBPP, Rohaizat Hamid; Tan Soo Siang dan Quah Boon Lim.

Selain jamuan makan, majlis turut dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama berupa sebuah tablet.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : CHAN KOK KUAN