Kerajaan Negeri teliti cadangan Enakmen CDF Sama Rata

Admin
9b341062 8258 48e4 83be 1b30dc0ead18

BUKIT TENGAH – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang meneliti cadangan penggubalan Enakmen Peruntukan Pembangunan Sama Rata (Equal CDF) sebagaimana disarankan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP agar mekanisme berkenaan diwujudkan baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, beliau telah meminta Penasihat Undang-Undang Negeri menyediakan draf enakmen berkenaan yang kemudiannya dibentangkan dalam mesyuarat Kerajaan Negeri pada Rabu lalu.

“Segera saya telah minta Penasihat Undang-Undang Negeri untuk bentangkan draf enakmen, dan ia telah dibentangkan pada mesyuarat Rabu lalu.

“Bagaimanapun, kita perlukan masa untuk melihat perinciannya, dan kita juga akan mencadangkan libat urus dengan pihak berkepentingan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kad Pencapaian 8 Tahun Visi Penang2030 di sini sebentar tadi.

Menurut Kon Yeow, cadangan berkenaan belum dapat dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang kerana tempoh masa yang ada adalah tidak mencukupi.

“Jadi, kita tidak akan dapat membentangkan cadangan enakmen pada persidangan DUN akan datang kerana kita ada tempoh masa untuk dipatuhi.

“Kita masih mempunyai masa untuk meneliti dan membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut,” ujarnya lanjut.

Media sebelum ini melaporkan berkenaan cadangan mewujudkan undang-undang bagi memastikan peruntukan pembangunan kawasan sama rata antara semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah dibangkitkan di peringkat kepimpinan DAP.

Sebelum ini, turut dilaporkan bahawa Kerajaan Negeri akan menunggu pandangan kepimpinan nasional DAP berhubung cadangan berkenaan, selain memaklumkan bahawa ADUN pembangkang di Pulau Pinang ketika ini menerima peruntukan kawasan sebanyak RM60,000 setiap seorang.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : ALISSALA THIAN

Video : SITI NURATIKAH RAHMAT & ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI