BUKIT TENGAH – Visi Penang2030 terus mencatat kemajuan ketara selepas lapan tahun pelaksanaan menerusi pelbagai pencapaian dalam aspek ekonomi, kebajikan, pendigitalan, pendidikan, pelancongan, kelestarian dan pembangunan infrastruktur negeri.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, antara pencapaian utama adalah peningkatan pendapatan isi rumah Pulau Pinang kepada RM7,386 berbanding RM5,409 ketika Visi Penang2030 mula dilaksanakan.
“Dalam tempoh sama, Pulau Pinang turut mencatat kadar kitar semula tertinggi di negara ini, melepasi purata nasional sebanyak 10 peratus,” ujarnya ketika berkongsi Kad Pencapaian Lapan Tahun Visi Penang2030 di sini pada 12 September 2026.

Hadir sama, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, barisan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemain industri, konsulat dan ramai lagi.
Mengulas lanjut, dalam aspek pendigitalan, Kon Yeow menyatakan bahawa kira-kira 15,000 rakyat Pulau Pinang telah diberi peningkatan kemahiran dalam bidang digital termasuk keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI).
“Pulau Pinang juga telah mencapai kadar penggunaan pembayaran tanpa tunai tertinggi di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut.
“Ketika ini, 100 peratus jabatan Kerajaan Negeri menawarkan pilihan pembayaran tanpa tunai, manakala 99.4 peratus bayaran perkhidmatan awam dilaksanakan secara dalam talian,” ulasnya.
Tambah Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi, beliau turut menyatakan bahawa Pulau Pinang turut menjadi negeri pertama dalam negara yang melengkapkan kesemua 396 sekolah kebangsaan dengan papan pintar interaktif.
“Selain itu, sebanyak 142 sekolah turut dilengkapi MakerLab bagi menyokong pembelajaran berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM),” ulasnya lanjut.
Bagi sektor pelancongan dan ekonomi, Kon Yeow berkata bahawa Pulau Pinang merekodkan 8.76 juta pelancong pada 2025, meningkat daripada 2.9 juta pada 2020.
“Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) turut mengendalikan kira-kira 70 peratus kargo udara Malaysia, termasuk produk semikonduktor dan elektrik serta elektronik (E&E) bernilai tinggi.
“Nilai eksport yang melalui sektor ini pula melebihi RM400 bilion,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Kon Yeow berkongsi kemajuan beberapa projek infrastruktur utama termasuk Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua, Penang International Logistics Aeropark (PILA) serta pembangunan Pulau Silikon.
“LRT Mutiara akan mempunyai jajaran hampir 30 kilometer dengan kira-kira 21 stesen.
“Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua pula dijangka menjimatkan sekurang-kurangnya 20 minit perjalanan ketika waktu puncak,” katanya.

Dalam aspek kebajikan, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa sebanyak 1,904 tan makanan berjaya diselamatkan menerusi Mutiara Food Bank untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.
“Pada masa sama, seramai 169 individu tanpa tempat tinggal dari Pusat Transit Harapan berjaya memperoleh pekerjaan melalui program yang dilaksanakan,” ujarnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Tambah Kon Yeow, usaha memperkukuh kelestarian negeri turut diteruskan menerusi pelbagai inisiatif termasuk Program Penyesuaian Iklim Berasaskan Alam Semula Jadi Pulau Pinang (PNBCAP).
“Ketika ini, terdapat sebanyak 384 kebun bandar di seluruh negeri yang turut menyokong usaha memperkukuh kelestarian serta keterjaminan makanan,” jelasnya.
Dalam bidang warisan pula, Kon Yeow memberitahu bahawa pemulihan Fort Cornwallis dengan pelaburan melebihi RM20 juta telah siap, dan dibuka semula kepada orang awam.
“North Seafront pula menerima dua anugerah UNESCO Asia-Pasifik bagi reka bentuk bandar lestari, sekali gus mengiktiraf usaha Pulau Pinang dalam pemeliharaan warisan dan pembangunan bandar yang mampan,” kongsinya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT & ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI