Kerajaan Negeri terus perkukuh ekonomi dan infrastruktur, hadapi cabaran masa depan

0e21768f adb3 4404 bd6e e6a28b3db28f

SERI DELIMA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memperkukuh asas ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan rakyat bagi memastikan negeri ini kekal berdaya saing serta mampu menghadapi cabaran pembangunan untuk tempoh akan datang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, selepas lebih 18 tahun menerajui pentadbiran negeri, (Kerajaan Negeri) berjaya mengekalkan kedudukan Pulau Pinang sebagai antara negeri penyumbang utama kepada ekonomi negara melalui pengurusan ekonomi dan pembangunan yang teratur.

“Sudah 18 setengah tahun kita menjadi Kerajaan Negeri, dan saya percaya kita tidak mengecewakan pengundi serta rakyat Pulau Pinang yang memberi sokongan kepada kita sepanjang empat penggal berturut-turut.

“Prestasi yang dapat kita tonjolkan ialah kita berjaya menguruskan ekonomi dan pembangunan dengan cara yang teratur serta tersusun sehingga Pulau Pinang masih kekal di kedudukan yang tinggi sebagai sebuah negeri yang menyumbang besar kepada ekonomi negara,” katanya.

40d036a8 eeaf 4057 b0be 600d9a825706
KETUA Menteri.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di sini pada 7 Oktober 2026.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung Parti Amanah Negara, Mohamad Faiz Fadzil; Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap Naib Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Dato’ Azrul Mahathir Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng serta dif-dif kehormat lain.

Mengulas mengenai perkembangan ekonomi, Kon Yeow menyatakan bahawa Pulau Pinang dijangka terus menyaksikan pertumbuhan sektor perindustrian yang rancak dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang susulan permintaan tinggi terhadap produk berkaitan semikonduktor dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Dengan penggunaan AI, ini membawa impak kepada industri semikonduktor dan pusat data, dan walaupun Pulau Pinang tidak mempunyai pusat data, pengisian pusat data datang daripada kilang-kilang di negeri ini juga.

“(Dahulunya) kilang-kilang menjangkakan tempahan untuk satu atau dua tahun, tetapi sekarang kita sudah menerima tempahan untuk tempoh lima tahun ke hadapan.

“Hal ini menunjukkan industri di Pulau Pinang begitu rancak, dan saya menjangkakan keadaan ini akan kekal dalam tiga hingga lima tahun akan datang,” ujarnya lanjut.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menyatakan bahawa pelaksanaan projek infrastruktur utama termasuk Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara serta beberapa projek lebuh raya bakal memperkukuh lagi jaringan pengangkutan negeri dan menyokong keperluan pembangunan masa depan.

60b72639 5579 468d 8e24 0a6bb46fc6e5b742b8f9 e005 4176 8281 bd3f1a65d0d8c2aa16b6 ecc9 460b 8615 d6b8e3bfa7c4
Menurut beliau, antara projek penting bagi Seberang Perai ialah Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua yang dijangka menyediakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan serta memisahkan trafik antara bandar dengan trafik tempatan.

“Projek-projek ini penting untuk memastikan kelancaran trafik dan menyediakan infrastruktur yang dapat menyokong pertumbuhan ekonomi serta keperluan rakyat,” jelasnya.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut menekankan kepentingan jaminan bekalan air susulan peningkatan permintaan daripada sektor perindustrian, perniagaan dan kediaman.

Tambah beliau, Pelan Tindakan Air Negeri Pulau Pinang sehingga tahun 2030 merangkumi sembilan projek bernilai kira-kira RM2 bilion yang dilaksanakan secara berperingkat, dan dijangka mampu menambah sehingga 600 juta liter sehari kepada kapasiti bekalan air negeri apabila semuanya siap sepenuhnya.

“Ini masih belum mencukupi kerana kita bukan sahaja mahu keterjaminan makanan, tetapi juga keterjaminan bekalan air di Pulau Pinang.

“Untuk jangka masa lebih panjang, kita sudah memeterai perjanjian dengan (negeri) Perak bagi menyalurkan air dari Sungai Perak ke Pulau Pinang yang diharap dapat dimulakan tahun depan dan mengambil masa kira-kira empat hingga lima tahun untuk disiapkan, dengan bekalan antara 300 hingga 500 juta liter sehari,” ulasnya.

2fce9fb3 12db 4678 bb56 d1ecd0c08425 16fcfe04 a999 45c5 84bb 9a4a37490c25 46947344 71a4 44c5 8532 6bccae8a9055 91db6129 1398 4fc1 9686 689e9a37c0a2
Sehubungan itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang turut memaklumkan bahawa pembangunan Pulau Pinang turut perlu disokong dengan pembangunan modal insan, khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.

“Sebagai negeri industri, kita memberi perhatian kepada pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

“Malah, kita juga mahu segala rancangan yang dilaksanakan sejak di peringkat sekolah rendah dapat mempersiap murid-murid kita untuk menceburi bidang sains dan teknologi, supaya pada satu hari nanti mereka menjadi modal insan penting dalam pembangunan masa depan,” serunya.

Dalam aspek kebajikan pula, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri terus melaksanakan pelbagai program dengan peruntukan kira-kira RM100 juta setahun bagi membantu golongan yang layak serta memerlukan.

Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa Kerajaan Negeri turut komited memastikan hak agama dan budaya semua rakyat di negeri ini terus terpelihara, termasuk melalui penyediaan serta penambahbaikan kemudahan rumah ibadat.

0939051d d3b2 4c4f 9502 362198633d7fb5dff72c b52e 4cb7 bdfd 398bcd2082bf59fd8d23 14c5 4bdb 9c0e 248e29ba48de
Kon Yeow dalam pada itu menegaskan bahawa komunikasi dengan rakyat perlu diperkukuh bagi memastikan pencapaian dan usaha Kerajaan Negeri dapat difahami dengan jelas oleh masyarakat.

“Komunikasi amat penting, kita boleh melakukan banyak kebaikan, tetapi apabila parti lawan lebih cekap berkomunikasi dengan rakyat dan menyampaikan makluman yang tidak begitu tepat, impaknya rakyat tidak akan tahu apa yang (Kerajaan Negeri) Pakatan Harapan lakukan untuk negeri.

“Justeru, saya berharap pimpinan parti dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) turut memainkan peranan berkomunikasi serta menyampaikan makluman yang betul kepada sahabat handai di lapangan, kampung serta tempat kerja supaya mereka lebih dekat dengan kerajaan yang dipilih dan disokong oleh mereka,” serunya lanjut.

Mengakhiri ucapannya, Kon Yeow menyatakan bahawa tempoh setahun setengah yang berbaki perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi meneruskan agenda pembangunan negeri.

“Kita jangan sia-siakan peluang yang diberikan oleh rakyat, justeru, marilah kita menggunakan tempoh yang masih ada untuk memperkemas lagi usaha kita bagi memastikan apa yang kita perjuangkan akan terus berhasil apabila pilihan raya negeri akan datang,” ujarnya.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT