GEORGE TOWN – Selepas melaporkan diri sebagai Pengarah PLANMalaysia Negeri Pulau Pinang pada 7 September lepas, TPr. Norjafni Zainuddin mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Yeow di sini, pagi tadi.
Ditemui kemudian, Norjafni, 54, berkata bahawa dalam pertemuan berkaitan antara lain membincangkan mengenai Pulau Pinang selaku tuan rumah penganjuran Sukan Nasional Perancang Bandar dan Desa Malaysia (SUKNA) pada September 2028.
“Pulau Pinang telah diberi peluang menjadi tuan rumah SUKNA 2028 dengan jangkaan penyertaan sekitar 1,000 peserta dari Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Ibu Pejabat dan Negeri termasuk (Wilayah) Sabah dan Sarawak.
“Sehubungan itu, pihak Jabatan memohon sokongan Kerajaan Negeri bagi memastikan SUKNA 2028 dapat dilaksanakan dengan jayanya,” jelasnya kepada Buletin Mutiara susulan selesai kunjungan hormat tersebut.
Ditanya lanjut, Norjafni menyatakan bahawa kejohanan sukan dwitahunan itu bakal mengangkat konsep “SUKNA 2028 – Alami Pulau Pinang” dengan memberi tumpuan kepada aspek pertandingan sukan serta memperkenalkan sekalian peserta kejohanan terhadap identiti Pulau Pinang melalui elemen warisan, makanan, pelancongan dan pembangunan bandar.
Sebelum melaporkan diri di Pulau Pinang, difahamkan, Norjafni pernah berkhidmat sebagai Pengarah Pejabat Projek Zon Timur (PPZR) PLANMalaysia selama tiga tahun bermula dari 5 September 2023, yang berpangkalan di Kuala Terengganu, Terengganu.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING