Kerajaan Negeri teruskan usaha pembenihan awan di Empangan Teluk Bahang

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneruskan pelaksanaan operasi pembenihan awan (OPA) bagi penghasilan hujan sekaligus meningkatkan kapasiti air di Empangan Teluk Bahang yang semakin kritikal.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa langkah itu akan dilaksanakan pada kadar segera memandangkan kapasiti efektif di Empangan Teluk Bahang kini mencecah paras kritikal iaitu 19.5 peratus.

 

“Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk meneruskan pembenihan awan dan telah meluluskan peruntukan bagi melaksanakan lapan lagi OPA di Empangan Teluk Bahang.

 

“Walau bagaimanapun, tiada jaminan bahawa hujan akan turun di Empangan Teluk Bahang apabila OPA dilaksanakan nanti…bergantung kepada keadaan atmosfera dan taburan awan.

 

“Kita (Kerajaan Negeri) akan serahkan kepada Badan Kawal Selia Air (BKSA) Pulau Pinang, PBAPP dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) untuk menentukan masa yang sesuai,” ujarnya sebagai respons terhadap pertanyaan pihak media pada sidang media di Komtar hari ini.

 

Terdahulu, Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM480,000 bagi melaksanakan 16 OPA, dan sehingga kini masih berbaki lapan lagi untuk dilaksanakan.

 

Dalam pada itu, menurut beliau, sejak sebulan lalu, taburan hujan tinggi direkodkan di daerah Seberang Perai Tengah (SPT), manakala di daerah lain kurang menerima taburan hujan.

 

“(Dan) ini merupakan salah satu punca yang mana paras air di Empangan Teluk Bahang menunjukkan penurunan,” katanya.

 

Dalam sidang media sama, Kon Yeow yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan melaksanakan catuan air.

 

“Sebaliknya, PBAPP akan melihat isu bekalan ini dan bertindak proaktif dengan melencongkan bekalan air dari empangan yang ‘sihat’.

 

“Misalnya dari Empangan Mengkuang ke Loji Rawatan Air Sungai Dua, bagi memenuhi dan mengimbangai keperluan semasa sesuatu kawasan itu.

 

“(Dan) catuan air merupakan pilihan terakhir,” jelasnya.

 

Sebagai rekod, sehingga 2:00 petang hari ini, kapasiti efektif di Empangan Teluk Bahang adalah pada paras 19.5 peratus, diikuti Empangan Air Itam (46.1 peratus) dan Empangan Mengkuang (87.6 peratus).

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN