Kerajaan Negeri tetap fokus capai prestasi baik

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan terus memberi fokus terhadap prestasi baik pentadbiran negeri ini demi kepentingan serta kepercayaan rakyat secara  berterusan.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pemerintahan PH di negeri ini telah memasuki tahun ke-15 yang mana ia bukan suatu tempoh singkat, sebaliknya boleh dikatakan sebagai (tempoh) panjang bagi sesebuah kerajaan.

 

“Pergolakkan politik dalam negara kini memungkinkan sebarang kejutan berlaku yang secara langsung akan menyebabkan perubahan.

 

“Situasi perubahan politik sebelum ini tidak pernah terjadi, jadi Pilihan Raya Umum (PRU-15) akan datang masih tidak pasti, mungkin luar kawalan, apa yang boleh kawal, kita kawal sebagaimana kita kukuhkan  Kerajaan Negeri agar mencapai prestasi yang baik,” ujarnya ketika menerima kunjungan hormat daripada delegasi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) Parlimen Tanjong di sini petang tadi.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) merangkap pengerusi delegasi, Wong Yuee Harng.

 

Seramai  14 wakil delegasi mengadakan sesi soal jawab bersama-sama Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkenaan aspek pentadbiran serta isu-isu semasa antaranya pembangunan ekonomi, pelaburan, pasca pandemik COVID-19 serta pembekalan air.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD