Kerajaan Negeri tetap teruskan usaha pembaharuan semula skim perumahan awam di Lorong Mahsuri 10 – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat untuk meneruskan usaha pembaharuan semula skim perumahan awam di Lorong Mahsuri 10, Bandar Bayan Baru.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, melalui perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa MMK Perumahan pagi ini, pihak berkaitan telah memutuskan untuk tetap meneruskan usaha bagi pembaharuan semula skim perumahan awam di Pulau Pinang.

Menurut beliau, hasrat bagi pembaharuan semula skim perumahan awam di negeri ini akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) pada Ogos ini.

JAGDEEP Singh Deo menunjukkan garis masa pelaksanaan projek pembaharuan semula di skim perumahan awam di Lorong Mahsuri 10 pada sidang media di sini pagi ini.

“Malah, sebelum ini, isu sama juga pernah dibincangkan bersama-sama pasukan petugas (task force) di peringkat Persekutuan bagi mencari penyelesaian terbaik melaksanakan pembaharuan semula ini.

“(Dan) dalam mesyuarat MTN tersebut nanti, akan dibincangkan sama ada perlu ubah undang-undang sedia ada berkaitan atau menggubal suatu undang-undang baru pembaharuan semula.

“Walau apa jua keputusannya (mesyuarat MTN), Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan tetap dengan pendirian untuk meneruskan usaha pembaharuan semula ini di blok Mahsuri (Lorong Mahsuri 10) mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” ujarnya pada sidang media di Komtar pagi ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong dan ADUN Pengkalan Kota, Gooi Zi Sen selaku ahli jawatankuasa MMK Perumahan.

Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan), ‘Ainul Fadhilah Samsudi; Ketua Penolong Setiausaha (Seksyen Dasar & Pembangunan), Fakhurrazi Ibnu Omar serta beberapa wakil daripada Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) turut serta dalam sidang media tersebut.

Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa di sesetengah negara, usaha pembaharuan semula bukanlah sesuatu yang baharu.

“Terdapat negara yang mempunyai kementerian khusus untuk pembaharuan semula, ada juga yang mempunyai peruntukan undang-undang berkaitan.

Jadi, apa jua keputusan Ogos nanti, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan teruskan usaha ini mengikut peruntukan undang-undang sedia ada seperti Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Tanah dan Akta Hak Milik Strata.

Kita (Kerajaan Negeri) mahu rumah pangsa di Lorong Mahsuri 10 menjadi projek perintis dan dalam masa sama mengenal pasti skim-skim perumahan awam yang usang untuk dilaksanakan inisiatif ini,” tegasnya.

Difahamkan, terdapat 300 unit rumah pangsa di Lorong Mahsuri 10 kini dengan keluasan kediaman antara 256 kaki persegi (kp) sehingga 429 kp.

Sekiranya inisiatif pembaharuan semula ini dilaksanakan, maka dalam tempoh tiga tahun akan ada 1,150 unit di tapak sama iaitu 345 unit rumah kos sederhana rendah dengan keluasan 700 kp dan 805 unit rumah mampu milik (850 kp) beserta ruang parkir untuk setiap kediaman.

Selain Lorong Mahsuri 10, Jawatankuasa Pembaharuan Semula telah mengenal pasti empat skim perumahan awam lama lagi yang turut berpotensi untuk dilaksanakan pembaharuan semula.

Empat skim perumahan awam tersebut adalah di rumah pangsa Padang Tembak, Air Itam; Taman Free School, Datuk Keramat; Taman Siakap, Seberang Jaya dan Mak Mandin, Butterworth.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NUR AMIRAH HUSNA ROSLAN