Sistem parkir pintar lebih mudah namun perlu mesra pengguna, kata responden

Admin

BERMULA Ogos ini, Pulau Pinang bakal memperkenalkan sistem parkir pintar atau Smart Parking System (SPS) yang memerlukan pemandu kenderaan di negeri ini memuat naik aplikasi khas pada telefon pintar masing-masing.

Melalui sistem tersebut, pemandu boleh mendapatkan tapak parkir kereta secara mudah dan cepat di beberapa lokasi terpilih yang menjadi tumpuan ramai.

Pada sidang media baru-baru ini, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan bagi fasa pertama, sebanyak 1,000 alat pengesan khusus akan dipasang pada setiap tapak letak kereta terpilih bagi membekalkan maklumat secara pintar, cepat serta mudah langsung kepada pengguna.

Beliau berkata, menerusi aplikasi pintar tersebut, pembayaran caj parkir adalah lebih mudah iaitu secara ‘eWallet’.

Justeru, wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF bersama-sama jurufoto, NUR AMIRAH HUSNA ROSLAN berkesempatan mendapatkan reaksi umum berhubung pelaksanaan sistem parkir pintar, sejauh mana ia memberi impak terhadap kegiatan harian penduduk di negeri ini.

SYAZWANI SUFIAN.

SYAZWANI SUFIAN, 29, dari Seberang Jaya berpendapat bahawa penggunaan sistem parkir pintar bakal memudahkan orang ramai namun ia haruslah bersifat lebih mesra pengguna.

“Sistem ini bakal memudahkan pengguna terutamanya di kawasan bandar tetapi pelaksanaannya perlu bersifat mesra pengguna.

“Walaupun kita berada dalam era teknologi canggih tapi masih ada lagi penduduk di negeri ini yang kurang pendedahan terhadap internet khususnya warga emas di kawasan-kawasan kampung,” ujarnya ketika ditemui.

NABILA RAMLI.

Bagi NABILA RAMLI, 25 dari Teluk Air Tawar pula berkata bahawa sistem tersebut dilihat bakal menjimatkan masa kerana pengguna tidak lagi perlu ke hulu ke hilir untuk mencari parkir.

“Kadang-kadang kita banyak habis masa untuk mencari parkir terutamanya di kawasan-kawasan yang padat dengan kenderaan seperti di Seberang Jaya atau Bukit Mertajam.

“Keadaan ini membuatkan pemandu ambil jalan mudah dengan memakir kenderaan sesuka hati sehingga mengganggu lalu lintas dan paling serius sehingga boleh mengancam keselamatan pemandu yang lain,” jelasnya.

Nada sama turut disuarakan oleh NADIA HANAFI, 28 dari Bagan Dalam yang menyatakan bahawa pembayaran parkir melalui ‘eWallet’ lebih memudahkan dan menjimatkan masa pengguna.

“Saya sokong pelaksanaan sistem parkir pintar kerana pada masa kini kebanyakan orang sudah tidak bawa wang tunai kerana mereka lebih selesa membayar melalui eWallet.

“Jadi, sekiranya tidak ada wang tunai pun kita oleh bayar parkir dan lebih penting kita tak perlu buang masa mencari parkir,” ulasnya lagi.

“Dengan adanya sistem ini nanti saya dah tak perlu buang masa untuk mencari parkir terutamanya di kawasan-kawasan yang padat dengan kenderaan,” katanya.

AZHAR MOHAMAD.

AZHAR MOHAMAD, 60, dari Balik Pulau pula kurang bersetuju terhadap pelaksanaan sistem pintar berkenaan kerana menurutnya ia akan menyusahkan golongan warga emas.

“Saya lebih suka menggunakan sistem sedia ada sebab warga emas seperti kami tidak tahu menggunakan internet,” ujarnya ringkas.

SELMA HASHIM, 61, dari Jelutong pula berkata pelaksanaan sesuatu dasar yang boleh mendatangkan kebaikan kepada masyarakat di negeri adalah wajar disokong.

SELMA HASHIM.

“Kalau Kerajaan Negeri nak laksanakan sesuatu yang lebih baik, kita setuju lah kerana kita sedia maklum masalah parkir merupakan antara masalah utama di kawasan pulau.

“Oleh itu, melalui sistem pintar ini pada pendapat saya sangat baik kerana kalau kita tengok di kawasan Komtar sendiri sangat sukar untuk mencari tempat parkir sehingga kita terpaksa berpusing di tempat yang sama berkali-kali,” jelasnya.

Difahamkan, sebanyak 647 petak parkir di bahagian George Town, iaitu di Lebuh Union, Lebuh Pantai (Lebuh Light – Gat Lebuh Chulia), Lebuh Pasar, Lebuh Queen (Lebih Bishop – Lebih China), Lebuh Queen (Lebuh China – Lebuh Chulia, Lebuh Penang (Lebuh Light – Lebuh China), Lebih Penang (Lebuh China – Lebuh Chulia), Lebuh King (Lebuh Light – Lebuh China), Lebuh King (Lebuh China – Lebuh Chulia), Lebuh Downing, Lebuh Bishop, Lebuh Gereja, Gat Lebuh Gereja, Lebuh China dan Gat Lebuh China.

Di Seberang Perai pula sebanyak 350 tapak parkir iaitu dekat Lorong Langsat dan Jalan Icon City bakal dilaksanakan bagi fasa pertama.