Kerajaan Negeri tingkat pemilikan rumah melalui kaedah sewa beli

PADANG LALANG – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus meningkatkan usaha bagi membantu pemilikan rumah dalam kalangan rakyat di negeri ini melalui kaedah skim sewa beli.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa sehingga kini, sebanyak 3,451 unit perumahan akan disalurkan kepada mereka yang layak menerusi kaedah berkenaan.

“Kerajaan Negeri akan terus meningkatkan jumlah unit rumah mampu milik pelbagai kategori untuk ditawarkan kepada rakyat terutamanya melalui skim sewa beli.

“Seperti semua sedia maklum, Kerajaan Negeri menyasarkan penyediaan Rumah Mampu Milik (RMM) sebanyak 220,000 unit menjelang tahun 2030, yang mana 10 peratus daripada jumlah ini iaitu 22,000 unit perlu disalurkan melalui kaedah sewa beli.

Jagdeep Singh Deo menyampaikan bantuan bakul makanan kepada salah seorang penghuni PPR Desa Wawasan.

“Oleh itu, gembira saya nyatakan bahawa setakat ini sebanyak 3,451 unit atau 15.67 peratus bilangan perumahan disalurkan melalui kaedah sewa beli berbanding hanya 2,510 unit pada tahun lepas,” katanya semasa berucap pada program pemberian bakul makanan kepada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Wawasan dekat sini pada 15 Januari 2022.

Hadir sama, Ahli-Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP); Pengerusi Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), ‘Ainul Fadhilah Samsudi serta Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Desa Wawasan, Mohd. Sanusi Ahmad.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep memaklumkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan sebanyak RM150,000 pada tahun ini bagi menaik taraf fasiliti baharu demi keselesaan penghuni PPR Desa Wawasan.

“Peruntukan ini adalah untuk kerja-kerja penggantian paip ketumpatan tinggi polietilena (HDPE) yang telah rosak.

“Justeru, dengan penaiktarafan fasiliti baru ini, diharap penghuni PPR Desa Wawasan dapat sama-sama menjalankan tanggungjawab komuniti untuk menjaga Amanah yang disediakan oleh Kerajaan Negeri,” katanya lagi.

Jagdeep berkata, sejak tahun 2008 hingga 31 Disember 2021, jumlah peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan di PPR Desa Wawasan adalah sebanyak RM7.9 juta.

“Kerja-kerja penyelenggaraan adalah meliputi mengecat bangunan, naik taraf sistem pencegahan kebakaran, naik taraf laluan pejalan kaki, penggantian peti surat serta banyak lagi.

“Selain itu, sebanyak RM1.55 juta telah disalurkan bagi kerja-kerja menaik taraf fasiliti PPR Desa Wawasan termasuk menaik taraf lif blok A dan B, menurap jalan, naik taraf sistem pam dan lain-lain melalui Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Pada program tersebut, sebanyak 180 bakul makanan diedarkan kepada mereka yang memerlukan.

Jumlah itu adalah sebahagian daripada 1,000 bakul makanan yang disalurkan secara perperingkat kepada sembilan skim perumahan awam di seluruh negeri yang dibiayai oleh LPNPP.

Oleh : SUNARTI YUSOFF