Sedia tambah PPV dos penggalak sekiranya ada keperluan – Ketua Menteri

PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia menambah jumlah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi mempercepatkan pemberian dos penggalak kepada orang ramai sekiranya terdapat keperluan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke PPV Sunshine Square dekat sini sebentar tadi.

“Kita (Kerajaan Negeri) memang ada menerima permintaan supaya PPV ditambah di kawasan-kawasan tertentu, dan kita sedia mempertimbangkan permohonan ini sekiranya ada keperluan.

Ketua Menteri ketika melawat PPV Sunshine Square pagi tadi.

“Oleh itu, Exco Kesihatan (YB Norlela Ariffin) akan terus memantau keadaan dan sedia bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) serta agensi-agensi lain termasuk penyedia perkhidmatan untuk menambah PPV di sesetengah kawasan yang mempunyai kurang liputan.

“Ini bukan bermakna kawasan tersebut langsung tidak ada PPV, tetapi mungkin agak jauh dari kawasan komuniti, jadi mereka mahu kita wujudkan PPV yang lebih dekat.

“Malah Kerajaan Negeri turut dimaklumkan bahawa JKNPP juga bersedia untuk menganjurkan PPV Outreach bagi mengisi keperluan ini,” ujarnya lagi.

Turut hadir, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus; mantan Pengerusi Persekutuan Kilang-Kilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang, Datuk Jimmy Ong Ching Keng dan Datuk Seri Dr. Ooi Eng Hock serta Naib Presiden Kanan ASP Medical Group, Dr. Yeap Gim Ean.

Dalam perkembangan semasa, Kon Yeow memaklumkan bahawa negeri Pulau Pinang telah mencapai kadar 45.8 peratus atau lebih 619,000 orang telah menerima suntikan vaksin dos penggalak setakat pagi ini.

“Dalam taklimat terkini, JKNPP yakin bahawa dengan jumlah PPV yang ditubuhkan setakat ini dengan kapasiti lebih 18,000 sehari, negeri Pulau Pinang mampu menyelesaikan pemberian dos penggalak menjelang penghujung Februari ini.

Orang ramai yang mendapat janji temu melalui MySejahtera hadir ke PPV Sunshine Square untuk mendapatkan suntikan dos penggalak masing-masing.

“Justeru, kita berharap agar penduduk Pulau Pinang yang layak sentiasa meneliti aplikasi MySejahtera untuk melihat tarikh janji temu dan seterusnya hadir ke PPV yang ditetapkan bagi menerima vaksin dos peggalak supaya Pulau Pinang terlindung daripada COVID-19,” ulasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih menunggu arahan selanjutnya daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung pemberian dos penggalak kepada golongan remaja.

“Menteri Kesihatan telah umumkan semalam bahawa golongan remaja juga boleh menerima dos penggalak, jadi kita menunggu arahan lanjut terutamanya dari segi penyediaan kemudahan dan aset yang mencukupi bagi tujuan ini.

“(Dan) kita berharap agar pengalaman semasa mengendalikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) lalu dapat dimanfaatkan sekali gus mampu menjalankan program ini (pemberian dos penggalak) dengan lancar,” jelasnya.

Difahamkan, PPV Sunshine Square yang mula beroperasi pada 18 November 2021 mampu memberikan suntikan sebanyak 1,800 dos sehari.

PPV seliaan Pluxhealth Clinic tersebut beroperasi pada Isnin hingga Jumaat mulai jam 9 pagi hingga 5 petang manakala hari minggu bermula jam 9 pagi hingga 1 petang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYu AHMAD RADZI
Video : CHAN KOK KUAN