Kerajaan Persekutuan cadang ambil alih beberapa lagi syarikat konsesi tol – Guan Eng

Admin

SEBERANG JAYA – Kerajaan Persekutuan kini dalam perancangan untuk mengambil alih syarikat konsesi tol yang lain sekiranya empat lebuh raya yang diumumkan baru-baru ini berjaya dilaksana.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, empat lebuh raya berkenaan bakal menjadi projek perintis kepada usaha Kerajaan Persekutuan bagi meringankan bebanan rakyat dengan mengurangkan kadar tol pada waktu-waktu tertentu.

“Pengambilalihan ini adalah sebagai satu projek perintis yang mana pada waktu bukan puncak akan diberikan secara percuma tetapi pada waktu puncak, pengguna perlu membayar caj kesesakan iaitu kadar tol sedia ada.

“Jadi, ia merupakan suatu penambahbaikan yang amat ketara berbanding dahulu dan kelebihannya, apabila kita beli konsesi ini, ia akan dibiayai oleh kadar tol yang dikutip,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Cawangan Pulau Pinang, di sini baru-baru ini.

Terdahulu, Guan Eng mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan akan mengambil alih empat syarikat konsesi lebuh raya membabitkan nilai berjumlah RM6.2 bilion.

Empat lebuh raya berkenaan adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn. Bhd. (SMART).

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu bahawa Kerajaan (Persekutuan) tidak akan menaikkan kadar tol untuk tahun-tahun akan datang dan pelaksanaan inisiatif itu di lebuh raya yang lain akan dibincangkan kemudian serta dilakukan secara berperingkat.

“”Kerajaan (Persekutuan) juga masih mempunyai tempoh yang panjang untuk menilai formula pengambilalihan tol itu iaitu sehingga Oktober ini sebelum mendapat kelulusan di Kabinet,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan juga akan menambah 80 alat pengimbas di semua laluan pintu masuk di seluruh negara.

Menurutnya, penambahan tersebut dapat membantu pihak JKDM mengenal pasti dan memproses barangan yang tidak dibenarkan seperti plastik yang diimport ke negara ini.

“Saya menerima aduan daripada pihak Kastam yang mengalami kesukaran dalam menjalankan penguatkuasaan berikutan jumlah kontena yang masuk ke negara ini terlalu banyak.

“Kadang-kadang ‘depan’ elok di ‘belakang’ ada macam-macam, itu yang jadi cabaran besar,” ulasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI