Amalan Sisa Sifar Sistem Barter mampu kurangkan sisa ke Pulau Burong

Admin

TANJUNG BUNGAH – Amalan tukar dan kongsi dapat memainkan peranan dalam mengurangkan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, maklum Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari.

Menurut Zairil, secara purata, 1,800 tan metrik sisa dilupuskan di Pulau Burong setiap hari dan sekiranya keadaan ini berterusan, kelestarian jangka panjang tapak pelupusan terbabit akan terjejas.

“Tapak pelupusan di Pulau Burong merupakan satu-satunya kemudahan tapak pelupusan untuk seluruh Pulau Pinang dan ia menjadi lokasi terakhir kepada semua sisa domestik dan sisa organik dari sektor industri.

“Kebimbangan yang sama juga dihadapi di seluruh negara ekoran terdapat sebanyak 150 buah pusat pelupusan sisa pepejal di seluruh negara, dimana separuh atau 74 buah daripada pusat-pusat berkenaan dijangka akan mencapai jangka hayat penggunaan pada tahun 2020,” ujarnya ketika berucap pada Program Sisa Sifar Sistem Barter baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Penang Green Council (PGC), Josephine Tan Mei Ling.

Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah melahirkan rasa bangga ekoran kadar kitar semula negeri telah meningkat dari 39.22 peratus pada tahun 2018 kepada 42.69 peratus kini.

“Kadar kitar semula terbaharu ini menjadikan Pulau Pinang jauh ke hadapan.

“Sebenarnya, apa yang kita ingin buang atau tidak perlukan lagi, mungkin ia merupakan keperluan untuk pihak lain.

“Adakalanya barangan yang mahu dibuang itu tidak pernah digunakan dan masih dalam keadaan baik… maka lebih bagus jika ia dapat digunakan oleh orang lain sekaligus dapat mengurangkan sisa yang akan dihantar ke tapak pelupusan,” katanya lagi.

Sementara itu, Mei Ling ketika berucap menyatakan bahawa PGC telah melaksanakan satu inisiatif aplikasi mudah alih Trash2Treasure yang menyatakan lokasi pusat kitar semula berdaftar.

“Melalui aplikasi ini, pengguna boleh menghantar barangan kitar semula kepada pusat-pusat berdaftar terdekat dengan lebih mudah.

“Anda juga boleh menukar barangan terpakai anda melalui aplikasi ini dan mempelajari cara-cara untuk mengasingkan sisa dengan permainan mini game di dalam aplikasi tersebut,” ujarnya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : PGC