Kerajaan Persekutuan pertimbang longgarkan syarat pinjaman perumahan, bantu rakyat miliki rumah

Admin

SUNGAI PUYU –Kerajaan Persekutuan bakal mempertimbangkan kelonggaran syarat-syarat pinjaman perumahan bagi membolehkan rakyat memiliki rumah sendiri.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, langkah tersebut akan membolehkan pembeli menikmati kadar faedah pinjaman yang istimewa berbanding sebelum ini.

“Kita longgarkan syarat-syarat supaya dapat memudah cara bukan sahaja pembelian rumah melebihi RM100,000 hingga RM300,000 tetapi juga untuk membolehkan lebih ramai menikmati kadar faedah istimewa iaitu 3.5 peratus setahun.

“Pada masa yang sama kita juga akan melanjutkan tempoh pinjaman dari 30 tahun kepada kepada 40 tahun supaya dapat mengurangkan bayaran ansuran bulanan sebanyak 20 peratus.

“Kelonggaran ini diberikan oleh Bank Negara supaya dapat membantu meringankan beban mereka yang mahu membeli rumah selain dapat menggalakkan rakyat memiliki rumah sendiri,” katanya yang akan membentangkan perkara berkaitan dalam Belanjawan 2020 Oktober ini.

Lim Guan Eng melepaskan beberapa ekor burung merpati sebagai simbolik kepada pelancaran sambutan Hari Kebangsaan.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Karnival Merdeka anjuran Komuniti Harapan Bagan dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Puyu, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu merangkap Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; ADUN Bagan Jermal merangkap Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ahli-Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Khong Chee Seong; Pengarah Penerangan Pulau Pinang, Sabri Said; Guru Besar SK Sungai Puyu, Sarimah Lazim dan ramai lagi.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng menegaskan bahawa mana-mana pihak yang didapati melakukan komplot bidaan projek kerajaan hingga menyebabkan ketirisan dana awam, boleh dihadapkan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Mana-mana bidaan perlu ikut anggaran supaya ia lebih sepadan atau sama dengan harga pasaran, tetapi tindakan perlu diambil ke atas mana-mana pihak jika berlaku penyelewengan.

“Laporan sama juga boleh dibuat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) adalah di bawah seliaan kementerian itu,” responsnya terhadap pertanyaan pemberita berhubung laporan yang menyebut sekurang-kurangnya 10 projek kerajaan bernilai jutaan ringgit kini disiasat MyCC kerana kontraktor memenangi tender itu disyaki berkomplot dalam proses bidaan.

Terdahulu ketibaan Guan Eng disambut dengan nyanyian lagu tradisional dan kibaran Jalur Gemilang oleh para pelajar.

Program turut dimerahkan dengan pelbagai acara seperti pertandingan pakaian bertemakan kemerdekaan, pertandingan menghias basikal, persembahan tarian dan deklamasi sajak oleh murid-murid SK Sungai Puyu.

Mengakhiri acara, Guan Eng melepaskan beberapa ekor burung Merpati sebagai simbolik kepada pelancaran sambutan Hari Kebangsaan.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF