Zakat Pulau Pinang sumbang 30 naskhah Al-Quran braille kepada Sekolah Pendidikan Khas Alma

Admin

AIR ITAM – Zakat Pulau Pinang (ZPP) hari ini menyumbangkan sebanyak 30 naskhah Al-Quran bertulisan braille kepada Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Alma, Bukit Mertajam.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah ZPP Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dekat Masjid Negeri, di sini sebentar tadi.

Menurut Abdul Malik, sumbangan tersebut merupakan usaha pembaharuan yang dilaksanakan oleh ZPP khususnya daripada segi program peyampaian kepada golongan asnaf.

“Kita sedang memikirkan program-program di luar kebiasaan iaitu untuk kita membantu serta memikirkan usaha ke arah bantuan terutama sekali kepada asnaf.

“Keduanya adalah usaha kita untuk meningkatkan lagi syiar Islam di negeri ini dengan menyalurkan bantuan berupa Al-Quran braille kepada sekolah-sekolah pendidikan khas yang kita usahakan,” ujar beliau yang juga Yang di-Pertua (YDP) Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail merangkap Ahli Majlis bagi MAINPP; Penolong Kanan Pentadbiran SKPK Alma, Mohd Shahridan Mohd Ali; guru agama SKPK Alma, Abd. Halim Abdullah dan Presiden Persatuan Tongkat Putih Pulau Pinang, Swarn Singh.

Tambah Abdul Malik, cadangan yang diberikan oleh Swarn Singh diterima oleh ZPP dalam menyampaikan Al-Quran braille kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dari segi penglihatan.

“Sebenarnya kita sumbangkan 40 naskhah Al-Quran braille secara keseluruhan yang mana 30 daripadanya diberikan kepada SKPK Alma baki 10 lagi kita berikan kepada individu atau orang perseorangan.

“Dengan itu, secara tidak langsung dapat membantu golongan ini untuk membaca Al-Quran dengan lebih mudah,” jelasnya lagi.

Pada majlis penyampaian tersebut, pelajar SKPK Alma, adik Nur Ainul Mardiah Md. Safrizan, 10, turut memperdengarkan bacaan ayat suci dari Surah Al-Balad.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NUR AMIRAH HUSNA ROSLAN