Kerajaan PR baiki bumbung rumah rakyat

KETUA Menteri, Lim Guan Eng (tengah) memantau keadaan rumah pangsa di Taman Bukit Minyak yang mengalami kerosakan akibat angin ribut baru-baru ini.
KETUA Menteri, Lim Guan Eng (tengah) memantau keadaan rumah pangsa di Taman Bukit Minyak yang mengalami kerosakan akibat angin ribut baru-baru ini.

BUKIT MINYAK – Kerajaan Negeri Pulau Pinang (KN) prihatin akan nasib keluarga 16 buah unit rumah pangsa lima tingkat, Taman Bukit Minyak, Seberang Perai Tengah yang mengalami kerosakan bumbung, siling dan pendawaian elektrik akibat daripada angin ribut serta hujan yang berterusan baru-baru ini.

Lantaran itu, KN telah mengarahkan agar kerja-kerja pembaikan dilaksanakan segera oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan peruntukan khas Kerajaan Negeri PR. Penduduk yang terlibat juga dipindahkan ke penempatan sementara bagi memudahkan kerja-kerja pembaikan dijalankan.

Siasatan telah dijalankan oleh pegawai-pegawai PDC bagi mengenalpasti jenis kerosakan sebenar rumah pangsa terbabit. Keseluruhan struktur bumbung, kemasan bumbung, siling dan pendawaian elektrikal 16 unit rumah pangsa berkenaan telah dibuat semula termasuk membaiki kebocoran pada tangki bekalan air.

Kerja-kerja ini dianggap sebagai kerja kecemasan kerana perlu dilakukan segera dan PDC telah mendapatkan sebut harga daripada PDC Nusabina Sdn. Bhd. (PDCNSB), anak syarikat PDC bagi melaksanakan kerja-kerja membaiki bumbung, memasang semula sistem pendawaian elektrikal dan kerja-kerja lain yang bersangkutan.

Kos bagi kerja pembaikan bumbung dan pembaikan elektrikal berjumlah RM266,296.00 telah dibiayai sepenuhnya oleh KN atas permintaan daripada Ahli Parlimen Batu Kawan, Prof. Dr. P. Ramasamy dan ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen.

Kos pembiayaan bagi kerja-kerja pembaikan akibat bencana ribut ini diberikan secara ‘one-off’ atas dasar Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) sebagai kerajaan berjiwa rakyat yang sememangnya menjaga kebajikan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah.